Tutup lubang lama, gali lubang baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wakil Umno dalam Dewan Negara bimbang cadangan untuk membenarkan pencarum menjadikan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran membuat pinjaman institusi kewangan.

Senator Dato’ Juhanis Abdul Aziz memberi amaran meskipun simpanan tidak terusik dan menerima dividen setiap tahun, namun langkah itu turut dikenakan faedah oleh pihak perbankan.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan tidak sewajarnya memberi galakan untuk berhutang ketika rakyat sedang dibebani pelbagai masalah seperti kenaikan harga barang keperluan.

“Wang KWSP ini untuk bantu rakyat, namun jika kita galakan pencarum buat hutang baharu dengan mencagarkan simpanan KWSP, ia seperti kata pepatah menutup lubang lama dengan menggali lubang baharu.

“Percayalah alternatif ini hanya menguntungkan pihak bank, pinjaman baharu ini pula sekali gus akan menambah komitmen bulanan mereka, bagaimana jika tidak mampu bayar balik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 di Dewan Negara, hari ini.

Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan kaedah bagi membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -