Dewan Rakyat kecoh isu RUU versi bahasa Inggeris

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) mempersoalkan empat Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat, hari ini, berbeza versi bahasa yang digunakan.

Datuk Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan perkara tersebut memandangkan dua RUU ada dua versi bahasa, manakala dua RUU lagi hanya dalam bahasa Inggeris.

- Advertisement -

Katanya, perkara itu boleh mengelirukan orang awam memandangkan RUU tersebut dibentang oleh kementerian yang sama.

Sedangkan, katanya menjadi amalan di Dewan Rakyat, setiap RUU menggunakan dua versi bahasa bagi memberi kefahaman lebih jelas kepada orang awam.

“Saya tahu Kanun Acara Jenayah adalah teks autoriti dalam bahasa Inggeris, namun di makamah hakim membenarkan peguam berhujah dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

“Kalau peguam hendak berhujah terus dalam bahasa Inggeris tidak menjadi kesalahan,” katanya ketika membangkit Peraturan Dewan sebelum menteri membentang RUU tersebut.

Keadaan kemudian menjadi kecoh apabila Datuk Che Mohamad Zulkifli Jusoh (PN-Besut) cuba menjelaskan kekeliruan teks RUU tersebut hanya menggunakan bahasa Inggeris.

Bagaimanapun ketika beliau bangun kali kedua bagi menjelaskan lanjut, Timbalan Speaker Datuk Ramli Mohd Noor memberi amaran supaya duduk.

Ketika kali ketiga Timbalan Speaker mengarahkannya duduk, Che Mohamad Zulkifli kemudian akur dan duduk di kerusinya.

Bagaimanapun Timbalan Speaker tetap mengarahkan Ahli Parlimen Besut keluar dari dewan dan direhatkan selama tiga hari sehingga Isnin hadapan.

Berikutan itu, Takiyuddin cuba menjelaskan Ahli Parlimen Besut sudah duduk, namun Timbalan Speaker berkeras meminta Bentara mengiringi Che Mohamad Zulkifli ke luar dari dewan.

Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ((Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh menjelaskan ketika era kerajaan sebelum ini, RUU yang sama hanya menggunakan bahasa Inggeris.

Selepas dicabar Ramkarpal, bekas Timbalan Menteri Undang-Undang dan Parlimen) era kerajaan PN, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, bangun menjelaskan ketika RUU tersebut dibentang pembangkang tidak membantahnya.

“Apa yang disebut (Ahli Parlimen) Kota Bharu hanya pandangan bagi mendapat penjelasan daripada kerajaan mengapa empat RUU yang dibentang, dua daripada menggunakan bahasa Inggeris sahaja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -