BAKA kendali program keagamaan PDRM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kewujudan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyebabkan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) bertanya sama ada kerajaan mempunyai perancangan mewujudkan perkara yang sama dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ustaz Kamal ketika mengemukakan soalan tambahan pula berkata, apakah dasar kelulusan ujian penilaian agama dan moral dalam setiap permohonan keanggotaan baharu masih wujud dalam PDRM serta bagaimana kurikulum agama dibangunkan dalam kalangan anggota sedia ada.

- Advertisement -

“Ini bagi memperkasakan integriti anggota kerana seperti yang dimaklumkan, bahawa pegawai tersebut dipinjamkan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Jadi apakah akan timbul beberapa masalah dalam pelaksanaan aktiviti kerana ia hanya dilihat sebagai aktiviti biasa, bukan sesuatu yang mesti dilalui anggota PDRM,” katanya.

Beliau bertanya demikian kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dato’ Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika menjawab perkara ini berkata, PDRM mempunyai Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) yang berperanan merancang serta melaksanakan program keagamaan dan kerohanian kepada anggota polis.

Katanya, BAKA juga melaksanakan urusan psikologi dan kaunseling dengan fungsinya setara KAGAT.

“Selain itu, BAKA menyediakan bahan dakwah, membangunkan program berkaitan hal ehwal sahsiah, menyelaras pelaksanaan program di masjid dan surau, kelas al-Quran dan fardhu ain,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -