Kementerian Kesihatan usaha tambah doktor pakar

Lukanisman Awang Sauni
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hanya 74 hospital di negara ini menyediakan perkhidmatan kepakaran secara residen, manakala 74 hospital lain menyediakan perkhidmatan itu secara kluster atau lawatan pakar perubatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memang berhasrat untuk memastikan semua hospital kerajaan mempunyai doktor pakar.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya pelbagai strategi diatur bagi meningkatkan bilangan pakar dengan meneruskan latihan kepakaran dan subkepakaran.

“Antara langkah-langkah utama adalah mewujudkan gred UD56 bagi pakar perubatan serta mewujudkan lebih peluang kenaikan pangkat ke gred khas atau gred utama,” katanya menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan, Mohd Azizi meminta kerajaan menyatakan jumlah hospital kerajaan yang mempunyai doktor pakar serta jumlah hospital yang belum mempunyai doktor pakar.

Beliau juga bertanya bilakah semua hospital kerajaan akan mempunyai doktor pakar demi kebajikan rakyat dari segi pemeriksaan kesihatan, rawatan dan kecemasan

Lukanisman berkata, pakar perubatan dan pegawai perubatan juga diberi kelonggaran untuk bekerja di sektor swasta pada luar waktu bekerja bagi menjana pendapatan tambahan.

Katanya, KKM juga memberi peluang sehari waktu bekerja fleksi setiap minggu bagi tujuan penyelidikan atau berkhidmat di sektor swasta yang tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -