Jangan tinggalkan golongan M40

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berpandangan bahawa kumpulan pendapatan pertengahan (M40) tidak boleh ditinggalkan apabila kerajaan hendak melaksanakan subsidi bersasar petrol.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan memberi gambaran kriteria yang akan digunakan untuk melihat sama ada individu itu akan masuk dalam kumpulan sasar atau tidak.

- Advertisement -

“Kalau boleh kongsikan sedikit gambaran. Kita tahu sedang dibincangkan, apakah pendekatan yang akan digunakan untuk melaksanakan subsidi bersasar ini.

“Adakah melalui cash transfer (pemindahan tunai) atau melalui kupon atau pendekatan yang lain,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, ketika menjawab perkara ini berkata, kerajaan setakat ini belum lagi melaksanakan subsidi bersasar petrol kepada rakyat.

Menurutnya, perkara itu masih dirangka dan kerajaan ketika ini sedang menyiapkan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Kita sedang menyiapkan sistem itu dan dijangka siap pada separuh tahun kedua 2023, sama ada Jun, Julai dan Ogos untuk menyiapkan SKDS.

“Ini bererti selepas dari elektrik (yang telah dilaksanakan), diesel. (Manakala) petrol tidak nampak lagi bila nak dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2023

- Advertisement -