Misi Khidmat Malaysia kepada mangsa banjir Johor

- Advertisement -

MISI bantuan bencana banjir Khidmat Malaysia ke Negeri Johor telah berlangsung selama 20 hari bermula pada 3  Mac sehingga 23 Mac 2023 

Misi di Johor telah berjaya menyalurkan bantuan keseluruhan kewangan sebanyak RM127,762.89 khususnya untuk menggerakkan Dapur Rakyat yang dibuka sebanyak 9 buah di kawasan-kawasan yang terlibat. 

Sebanyak 25,200 pek makanan berjaya disediakan dan diberikan kepada mangsa banjir dan kepada petugas bencana sama ada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)  atau yang berada di lapangan.

Seramai 1,650 orang petugas dan sukarelawan telah berjaya turun membantu dalam kerja-kerja pembersihan, menyelamat, penyediaan dapur rakyat dan bantuan ke PPS.

Sebanyak 12,780 pek makanan telah diserahkan kepada mangsa banjir dengan anggaran sebanyak RM639,000.00 secara keseluruhannya.

Secara keseluruhannya, seramai 46,742 orang mangsa banjir telah didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun dijangkakan bahawa ramai lagi yang berada di rumah kediaman masing-masing atau berpindah ke rumah saudara-mara dan tidak mendaftarkan diri ke PPS.

Khidmat Malaysia sangat berbesar hati dengan segala bentuk sumbangan yang telah diberikan oleh semua pihak sama ada sumbangan dalam bentuk kewangan atau barangan. Khidmat Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM50,000.00 kepada Khidmat Malaysia untuk disampaikan kepada penduduk Johor yang terlibat dengan banjir.

Khidmat Malaysia juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada Lajnah Kebajikan PAS, Lajnah Kesihatan PAS, Jabatan Amal Malaysia, Briged Muslimat dan barisan NGO yang turut bersama kami seperti Yayasan Amal Malaysia, PAPISMA, Muslim Care Malaysia, Syabab Care dan NGO-NGO lain yang turun membantu menjayakan operasi bencana banjir kali ini.

Begitu juga kepada semua penyumbang tidak kira dalam kalangan orang persendirian mahupun kumpulan yang telah mengumpulkan barang sumbangan dan wang tunai dan diserahkan melalui penyelarasan Khidmat Malaysia.

Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada agensi-agensi kerajaan terutamanya pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat, BOMBA dan agensi-agensi lainnya yang banyak memberikan bantuan, berkongsi maklumat dan memberi ruang seluasnya kepada Khidmat Malaysia memberi khidmat kepada rakyat yang terjejas akibat bencana kali ini.

Tidak ketinggalan kepada seluruh pimpinan masyarakat daripada Menteri Besar, Ahli-ahli Parlimen, ADUN-ADUN sehinggalah kepada Penghulu dan ketua kampung.

Sekian, wassalam.

YB DATUK SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Pengerusi Khidmat Malaysia – HARAKAHDAILY 27/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -