Ramadan: Bukan bulan makan banyak ikut nafsu

Ramadan menggalakkan agar umat Islam berbuka semasa iftar secara bersederhana. (FOTO HIASAN: Bayut)

Ramadan 2023 yang kini sudah menjelma sememangnya merupakan suatu bulan yang ditunggu-tunggu dan dirindui oleh umat Islam.

Muslim yang beriman menjalani ibadah puasa setiap hari sepanjang bulan ini dari terbit matahari sehingga terbenam di ufuk barat negara kita Malaysia.

Advertisement

Bulan yang penuh barakah ini menjadi titik tolak perubahan umat Islam ke arah yang lebih baik dan meninggalkan perbuatan keji dan memudaratkan fizikal, emosi, intelek dan spiritual. 

Ramadan ibarat kapsul yang merawat rohani dan jasmani umat Islam untuk mendepani sebelas bulan yang akan datang dengan penuh cekal dan bertenaga.

‘Saum’, imsak

Puasa dalam bahasa Arab, ‘saum’ yang mempunyai pengertian dari sudut bahasa ialah ‘imsak’ iaitu menahan diri daripada melakukan sesuatu. 

Imam al-Mawardi pernah berkata, adapun puasa dalam pengertian adalah ‘menahan’. Dikatakan seseorang itu berpuasa apabila dia menahan diri daripada berkata-kata berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku bernazar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah (Rahman) untuk berpuasa maka aku tidak akan bercakap dengan sesiapa pada hari ini. (Maryam: 26).”

Sementara, pengertian puasa dari sudut syarak pula bermaksud, menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa mulai terbit matahari hingga terbenam dengan niat.

Ramadan merupakan bulan kesembilan dalam kalendar Qamariyah ataupun dikenali juga sebagai Hijri. 

Berdasarkan kamus Mu’jam Lisan al-`Arab, kalimah Ramadan ini adalah kata terbitan yang berakar umbi dari kalimah ramida yang bererti panas terik. 

Ibn Darid berpendapat bahawa nama bulan diambil bersempena dengan situasi cuaca pada ketika itu. Memandangkan bulan tersebut cuaca panas terik dan bumi panas kering, maka ia dinamakan Ramadan. 

Pemilihan nama bulan Ramadan ini juga turut dipengaruhi oleh rasa haus dan kering anak tekak orang yang berpuasa. Selain daripada nama Ramadan, bulan puasa turut digelar bulan Allah SWT.

Berpuasa sehari, berbuka sehari

Puasa adalah amalan para nabi-nabi dan Rasul pilihan Allah SWT. Puasa Nabi Daud amat digalakkan dan dicatat oleh Abdullah bin Amr sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: 

“Puasa yang lebih disukai oleh Allah ialah puasa Daud, dan solat yang paling disukai Allah ialah solat Daud. Beliau tidur seperdua malam, bangun sepertiganya lalu tidur seperenamnya.Beliau berpuasa satu hari dan berbuka satu hari (Bukhari dan Muslim)”. 

Berpuasa sehari dan berbuka sehari yang dilakukan oleh Nabi Daud adalah pilihan dan ia tidak wajib. Umat Nabi Muhammad SAW diwajibkan berpuasa mulai tahun kedua Hijrah Nabi SAW ke Madinah al-Munawwarah. Dalil kewajiban puasa adalah firman Allah SWT yang bermaksud:  

“Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa. (Al-Baqarah:183).”

Sabda Nabi SAW telah diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A yang bermaksud:

 “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata bahawa Islam dibina atas lima prinsip: penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadan. (Sahih Bukhari dan Muslim).”

Makan berlebihan ikut hawa nafsu

Bulan Ramadan kaya raya dengan kelebihan pahala dan ganjaran yang berlipat kali ganda di atas kebaikan yang dilakukan ke atas diri sendiri, keluarga, masyarakat khususnya dan umat dan negara amnya. 

Individu yang berpuasa akan berjihad melawan hawa nafsu khususnya tabiat suka makan tanpa batasan masa atau tidak menjaga waktu makan yang sepatutnya serta menjejaskan kesihatan diri.

Ketentuan waktu permulaan berpuasa dan berbuka telah membentuk keseluruhan umat Islam walau di negara mana mereka berada, makan sahur dan berbuka pada waktu yang sama dan tetap setiap hari selama sebulan. 

Secara tersirat, ia adalah latihan disiplin dalam menjaga waktu makan yang tetap sebagaimana disiplin waktu solat yang telah ditentukan waktu setiap lima fardhu; Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. 

Sesungguhnya kepentingan masa itu telah diabadikan dalam surah al-Asr yang bermaksud:

“Demi masa! Sesungguhnya insan berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran(Al-Asr:1-3).”

Makan berlebihan akan memudaratkan kesihatan insan dan Islam melarang perbuatan tersebut. Firman Allah SWT:

“…dan jangan kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dan hendaklah berbuat baik sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan(al-Baqarah:195). Selain daripada itu, pengambilan makanan dan minuman yang memudaratkan rohani dan jasmani insan seperti dadah, alkohol dan lain-lain turut dilarang oleh Allah Taala dalam firmanNya yang bermaksud: dan dihalalkan bagi kamu segala benda yang baik dan diharamkan ke atas kamu segala benda yang buruk (Al-A`raf: 157).”

Malah, Baginda Rasulullah S.A.W turut bersabda yang bermaksud:

“Dilarang memudaratkan (diri sendiri) dan tidak boleh memudaratkan orang lain (Riwayat Ibn Majah).

Kesempurnaan kapsul orang yang berpuasa dilengkapkan dengan melaksanakan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. 

Rasulullah SAW turut berpesan dan menggalakkan amalan-amalan sunat sepanjang bulan Ramadan seperti solat tarawih yang ditutup dengan solat witir pada setiap malam selepas solat Isyak selesai dilaksanakan, bersedekah, menunaikan umrah dan memberi makan orang yang berbuka puasa. 

Umat Islam amat digalakkan untuk menyediakan makanan berbuka untuk mereka yang berpuasa dan diberi ganha pahala sebagaimana orang yang berpuasa. 

Ini bukan bermakna individu yang tidak berpuasa terlepas daripada kewajiban berpuasa apabila menyediakan juadah kepada orang yang berpuasa. 

Kesimpulannya, kesukaran dan kesulitan yang dihadapi untuk menyediakan juadah berbuka dalam keadaan dia berpuasa akan diberi ganjaran  pahala yang setimpal dengan usaha dan penat lelah.

Allah SWT tidak meremeh-remehkan usaha tersebut dan ia tidak sia-sia malah dianugerahi pahala yang berlipat kali ganda. Malah doa orang yang berpuasa adalah mustajab dan diperkenan oleh Allah SWT.

Dr Aizan Ali@Mat Zin (Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur) – HARAKAHDAILY 27/3/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.