Langkah kerajaan pulihkan ekonomi ambil masa

Muhyiddin Yassin.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kumpulan rentan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terkesan dengan kejatuhan ekonomi pasca pandemik, maka timbul apakah strategi dan langkah yang dilakukan kerajaan ketika ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) meminta Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan strategi dan langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara khususnya adalah bagi memenuhi keperluan kumpulan tersebut.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian dalam sidang parlimen Dewan Rakyat yang berlangsung pada pagi ini, yang mana Rafizi dalam jawapanya menegaskan bahawa kerajaan ketika ini sedang memberi tumpuan kepada tiga perkara utama, iaitu mengukuhkan kedudukan fiskal, mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu dan melaksanakan reformasi struktur ekonomi. 

“Tumpuan akan diberi kepada sumber pertumbuhan baharu daripada sektor strategik yang dapat mempercepatkan kemasukan pelaburan baharu. 

“Industri yang berteknologi tinggi dan mengutamakan pendigitalan seperti elektrik dan elektronik, aeroangkasa dan pusat data akan diberi keutamaan,” katanya.

Namun begitu, Muhyiddin dalam hujah beliau seterusnya mempersoalkan bahawa langkah yang akan dijalankan oleh kerajaan sudah pasti mengambil masa lama dan menyebabkan golongan terkesan akan terus menderita.

“Tidakkah kerajaan bercadang mengadakan pakej rangsangan ekonomi bersasar khasnya bagi membantu golongan ini?” tegasnya melalui soalan tambahan ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat tersebut.

Selain itu, Muhyiddin mencadangkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada sektor yang mengambil masa untuk dipulihkan seperti sektor pembinaan dan pelancongan, yang mana ia mungkin runtuh jika tidak dibantu dengan segera.

“Saya bimbang situasi pada tahun ini, keadaan akan bertambah teruk dan mungkin lebih ramai orang akan hilang pekerjaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -