Tahap pendayaupayaan pengguna: Panduan Nabi

Afnan Hamimi.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerima cadangan agar kaedah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk dijadikan garis panduan dan menilai tahap pendayaupayaan pengguna.

Cadangan itu dikemukakan oleh Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) semasa mencelah pada sesi jawab lisan yang dibentang oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dalam sidang Parlimen Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Beliau meminta kerajaan menyatakan sama ada bercadang untuk menilai semula dasar kepenggunaan negara ini dengan melihat Rasulullah sebagai seorang pengguna.

“Ada banyak kajian yang dipaparkan tentang kepenggunaan YB (Yang Berhormat) Kepala Batas, tesis PhD beliau tentang kepenggunaan,” katanya.

Tambah beliau, ia juga berkait dengan cara pengguna menyusun keutamaan dalam Islam iaitu Fiqh Aulawiyyah.

“Adakah kerajaan bercadang untuk melihat kepada aspek itu mungkin bekerjasama dengan Menteri Agama, JAKIM atau sebagainya untuk melihat ke arah itu?,” soalnya.

Fuziah dalam jawapannya berkata, tahap kepekaan ataupun pendayaupayaan pengguna belum di tahap yang diinginkan.

“Jadi tentu sekali kita reviu benchmark (penanda aras) dengan best practice (praktik terbaik) negara lain bagaimana tahap pendayaupayaan pengguna mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -