Klinik kesihatan dibuka selepas waktu pejabat elak kesesakan

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kini terdapat 52 buah klinik kesihatan yang sedang menjalankan perkhidmatan extended hours dan enam buah klinik kesihatan menjalankan perkhidmatan syif.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Kesihatan, pembukaan klinik kesihatan selepas waktu bekerja pejabat adalah suatu usaha bagi membolehkan rakyat mendapat akses kepada khidmat kesihatan selepas waktu pejabat dan secara tidak langsung, diharapkan dapat mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital.

Katanya, pelanjutan waktu operasi dilaksanakan secara extended hours dengan pegawai perubatan dan anggota sokongan bertugas selepas waktu bekerja biasa secara penggiliran lebih masa.

“Penjadualan kakitangan dibuat dengan mengambil kira sumber manusia di fasiliti, di mana bilangan anggota yang minimum perlu disediakan bagi menawarkan perkhidmatan tersebut,” kata kementerian dalam jawapan bertulis kepada soalan Abdul Latiff Abdul Rahman [PN-Kuala Krai] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff meminta Menteri Kesihatan menyatakan adakah pihak kerajaan mempunyai pegawai kesihatan yang mencukupi bagi merealisasikan cadangan membuka beberapa klinik kesihatan secara lebih masa bagi menangani masalah kesesakan hospital terutamanya di unit kecemasan.

Kementerian juga menyatakan telah melaksanakan pemanjangan waktu klinik kesihatan secara syif, di mana anggota klinik dibahagikan kepada dua syif.

“Kekuatan anggota pada setiap syif bergantung kepada beban kerja klinik tersebut. Melalui kaedah syif, rawatan penyakit kronik, khususnya NCD dapat diagihkan selepas waktu pejabat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -