Hukuman lebih berat memandu bawah pengaruh alkohol, dadah

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan dengan kemalangan yang disebabkan oleh pemandu di bawah pengaruh alkohol adalah satu perkara yang amat dipandang serius oleh kerajaan.

- Advertisement -

Kementerian Pengangkutan telah pun menguatkuasakan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan (1987) mulai 23 Oktober 2020.

Menurut kementerian itu, sejak berkuatkuasanya pindaan akta tersebut, hukuman yang lebih berat telah diperuntukkan termasuk meningkatkan kadar denda, tempoh penjara dan menjadikan hukuman penjara sebagai mandatori bagi jenis-jenis kesalahan tertentu termasuk kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

“Pindaan hukuman ini bertujuan menjadi satu bentuk deterrence dan memupuk kesedaran kepada orang ramai ke atas pematuhan undang-undang,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin [PN-Jerantut] di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairil Nizam dalam soalannya meminta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah langkah tegas kerajaan dalam menangani isu kemalangan yang berpunca daripada pemandu mabuk yang sering kali menyebabkan pihak lain pula yang menjadi mangsa sehingga ada yang kehilangan nyawa dan mata wang pencarian.

Kementerian juga akan terus bekerjasama dengan pihak KDN dan PDRM dalam melaksanakan program sedia ada seperti melaksanakan aktiviti kempen dan advokasi serta mengukuhkan aktiviti- aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara.

“Kementerian Pengangkutan juga menyeru semua pihak yang berkepentingan termasuk lain-lain agensi kerajaan, NGO dan pengusaha premis minuman/makanan untuk bekerjasama dalam membantu melaksanakan kempen, advokasi dan pendidikan kepada orang ramai berhubung kesalahan dan implikasi memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -