‘Laksana kepimpinan dengan cara paling baik’

- Advertisement -

LAHAD DATU: “Laksanakan kepimpinan itu dengan cara yang paling baik,” kata Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.

- Advertisement -

Menurutnya, kepimpinan bukanlah suatu kepujian tetapi ia adalah satu tanggungjawab yang dibebani dengan pelbagai cabaran dan ujian.

“Apabila kepimpinan memahami tanggungjawabnya, mereka akan merasa bersalah jika tidak melaksanakan apa yang telah ditaklifkan kepadanya.

“Maka ia adalah sebuah kefahaman, yang akan membuatkan seseorang itu melaksanakan tanggungjawabnya dengan cara paling baik,” ujarnya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Lahad Datu Kali Ke-11 di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah turut mengingatkan, kepimpinan merupakan sebahagian daripada ibadat kepada Allah, jika dilaksanakan dengan baik, maka ia amat besar ganjarannya di sisi Allah.

Katanya, bagi melaksanakan tanggungjawab itu, setiap pimpinan dan ahli perlu mempunyai kestabilan roh kefahaman dan ilmu yang kuat, supaya ibadat yang dilaksanakan itu tidak mudah goyah.

“Ibaratnya seperti kereta yang rosak tayarnya, jika dibiarkan sudah pasti membawa kepada ketidakstabilan, seterusnya akan merencatkan perjalanannya, begitulah kita dalam jemaah,” ujarnya lagi.

Beliau menyarankan setiap pimpinan dan ahli patuh pada setiap arahan yang dikeluarkan oleh jemaah agar setiap perancangan dan strategi jemaah dapat dilaksanakan dengan baik. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -