Malaysia dalam proses pembelian dron

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persoalan pembelian dron yang dibangkitkan oleh Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) di Dewan Rakyat, hari ini, mendapat jawapan konkrit, iaitu kerajaan mengesahkan usaha perolehan aset terbaharu pertahanan negara itu.

Menurutnya, perolehan yang telah lama ditunggu oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ialah dron atau sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) Medium Altitude Long Endurance (MALE).

- Advertisement -

“Bagaimanapun sehingga kini, belum ada lagi keputusan muktamad dari segi perolehan aset itu. Jadi, adakah pihak tentera melihat aset ini untuk kita segerakan.

“Dalam anggaran perbelanjaan Persekutuan pada tahun ini, kita lihat ada RM209 juta peralatan aset yang akan kita beli. Adakah ini termasuk dron,” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, ketika menjawab mengesahkan perolehan dron yang sedang dilakukan.

Katanya, Kementerian Pertahanan telah membuat tender antarabangsa dan akan membeli tiga buah dron MALE mengikut kesesuaian negara ini.

Katanya, kemampuan UAS-MALE untuk beroperasi sehingga 48 jam akan menjadi ‘mata’ terpenting bagi negara untuk mengesan sebarang potensi pencerobohan oleh kapal asing.

“Sebarang keadaan yang berisiko (hasil rondaan dron), kita akan segera masuk ke markas pertahanan (bilik operasi) untuk mengenal pasti bentuk ancaman dan bertindak mengikut arahan selanjut pegawai tertinggi angkatan tentera,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -