Konspirasi penipuan RM4 bilion: Bilionair China ditangkap

Guo Wengui (kiri) dan Steve Bannon. (FOTO: ABC News)
- Advertisement -

NEW YORK: Bilionair China, Guo Wengui telah ditangkap dan didakwa menipu beribu-ribu pengikutnya dalam konspirasi mencecah lebih AS$1 bilion (RM4.5 bilion) melalui skim pelaburan yang kompleks dan mengelirukan.

- Advertisement -

Pendakwa raya di Amerika Syarikat mengumumkan, Guo, 52, seorang pengkritik tegar kerajaan China yang dibuang negeri di Manhattan, yang rapat dengan Steve Bannon yang merupakan bekas penasihat kepada bekas Presiden, Donald Trump itu telah ditahan di New York pada pagi Rabu (15 Mac), waktu tempatan, lapor CNN.

Guo juga dikenali sebagai Ho Wan Kwok dan Miles Guo didakwa menipu atau menyalahgunakan wang pelabur menggunakan skim berbeza, termasuk syarikat medianya GTV Media Group (GTV), program pinjaman ladang melalui Himalaya Farm Alliance, dan mata wang kripto yang dipanggil Himalaya Coin.

Kereta RM20 juta

Pendakwa raya berkata daripada menggunakan wang itu seperti yang dijanjikannya kepada bakal pelabur, Guo sebaliknya mengarahkan dana itu untuk dilaburkan ke dalam dana lindung nilai untuk memberi manfaat kepada GTV dan seorang saudaranya, menampung bayaran penyelenggaraan untuk kapal layar mewahnya sepanjang 145 kaki yang bernilai AS$37 juta (RM167 juta), membeli sebuah rumah agam di New Jersey, dan membiayai kereta sport Bugatti yang direka khas berharga AS$4.4 juta (RM20 juta).

Seorang hakim persekutuan menafikan sebarang jaminan selepas Guo bersetuju untuk ditahan pada Rabu tersebut.

Sementara itu, kebakaran berlaku di kondominium Guo apabila FBI berada di lokasi itu bagi melaksanakan waran geledah pada awal pagi Rabu, yang mana jurucakap pejabat peguam AS, Nicholas Biase, berkata punca kebakaran sedang disiasat.

Teori pandemik Covid-19

Guo mengasaskan dua pertubuhan bukan keuntungan, Rule of Law Foundation dan Rule of Law Society, yang pendakwa raya AS mendakwa digunakan untuk menarik pengikutnya agar  mempercayai banyak idea bisnesnya.

Organisasi tersebut dikaitkan dengan kumpulan yang mempromosikan teori bahawa pandemik Covid-19  direka bentuk di makmal China. 

Rule of Law Society diasaskan bersama oleh Guo dan Bannon, namun Bannon sebaliknya tidak didakwa dalam kes ini.

Bagaimanapun Bannon telah ditangkap pada tahun 2020 di atas kapal layar Guo atas tuduhan penipuan yang tidak berkaitan yang berpunca daripada usaha mengumpul dana tembok sempadan. 

Bannon telah diampunkan oleh Trump tetapi kemudian didakwa atas tuduhan yang sama, namun beliau telah mengaku tidak bersalah.

Pendakwa raya berkata mereka telah merampas AS$634 juta (RM2.86 bilion) daripada 21 akaun bank dan sebuah Lamborghini Aventador SVJ Roadster milik Bannon. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -