Hospital Bachok dijangka dibuka Oktober 2023

- Advertisement -

PASIR MAS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima lebih 800 borang penjawatan bagi mengisi kekosongan jawatan di Hospital Tanah Merah dan Hospital Bachok yang akan dibuka tahun ini.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Negeri Kelantan (JKNK) Dato’ Dr Zaini Husin berkata,
kekosongan itu telah diisi dengan pelbagai jawatan yang diperlukan di hospital terbabit.

Katanya, bangunan tambahan Hospital Tanah Merah dijangka akan mula beroperasi pada Mei hadapan, manakala Hospital Bachok dijangka pada Oktober.

“Kita telah mendapat peruntukan dari kementerian bagi tujuan itu yang akan mengambil masa empat hingga lima bulan untuk disiapkan.

“KKM mengambil berat tentang fasiliti dan kemudahan yang diperlukan di hospital untuk memastikan keselesaan pesakit dan kakitangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Minggu Glaukoma dan Hari Buah Pinggang Sedunia 2023 di sini hari ini.

Dr Zaini juga berkata, pihaknya akan memantau bazar Ramadan dan gerai makanan bagi memastikan tahap kebersihannya terjamin.

Selain itu katanya, peniaga perlu mengambil suntikan tifoid yang digalakkan bagi mereka yang terbabit dalam industri penyediaan makanan.

“Pengusaha perlu mengutamakan kualiti makanan bagi menjamin tahap kebersihan dan kesihatan pelanggan.

“Diharap dengan kerjasama KKM peniaga dapat meningkatkan lagi tahap penjagaan kebersihan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -