Geng Ustaz tak puas hati jawapan defensif Hannah

- Advertisement -

SUATU program yang diberi nama ‘Jom Ziarah Gereja’ yang telah dianjurkan oleh Impact Malaysia, sebuah badan yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan di mana menterinya ialah YB Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Ia telah mencetuskan rasa tidak selesa di kalangan rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Melayu-Islam saat iklan dan kempen program ini mula disiarkan kepada umum.

YB Hannah Yeoh telah menjawab mengenai isu ini di Parlimen semalam. Namun jawapan jawapan yang diberi berkenaan isu ini masih tidak jelas dan tidak memuaskan hati.

Pertamanya, YB Menteri menjelaskan program ini dijalankan hanya untuk bukan-Muslim di Malaysia ini. Namun anehnya, iklan yang dibuat tidak pula disebut seperti itu. Yang terdapat pada poster iklan hanya melarang belia bukan-Kristian dari menyertai program tersebut. Bahkan iklan itu pula disebar secara terang-terangan dan secara terbukanya di media-media sosial. Ini sangat biadab dan tidak peka dengan sensitiviti masyarakat majoriti Melayu-Islam. 

Kedua, mengapakah Kementerian Belia dan Sukan sibuk dengan agenda perpaduan negara? Sudah tidak ada kerja lain kah kementerian ini sibuk mengambil tugas dan misi Kementerian Perpaduan? Apakah ini sebenarnya satu mesej dari YB Hannah Yeoh bahawa Kementerian Perpaduan tidak buat kerja sehingga YB sibuk sibuk menolong tugas dan portfolio Kementerian Perpaduan Negara yang dipengerusikan oleh Datuk Aaron Ago Dagang? Atau sebenarnya YB ada agenda lain?

Ketiga, apakah manfaat dan signifikannya dana dan peruntukan kementerian yang dibelanjakan, yang sumbernya datang dari seluruh rakyat Malaysia hari ini, yang majoritinya Melayu Muslim mendanai program lawatan ke gereja? Tidakkah ini satu pembaziran kepada duit rakyat? Apakah perbelanjaan dari kementerian ini suatu yang setiap majaroti rakyat Malaysia yang terdiri dari kalangan Melayu Islam redha duit mereka dibelanjakan untuk program program seperti ini? 

Hujah-hujah yang YB Hannah jawab di Dewan Parlimen dengan membawa contoh dari lawatan ke gereja yang dilakukan oleh Tan Sri Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pula sangat jauh dari apa yang cuba YB bawa dengan inisiatif kementerian. 

Benar, Islam tidak melarang melawat gereja selagi mana ia tidak melibatkan upacara ibadat. Namun, program lawatan itu tidak bolehlah didanai dari duit kerajaan. Tidak boleh juga untuk ia dipromosikan kepada umum kerana kepentingan untuk menjaga aqidah dan pegangan agama orang-orang Islam lebih utama dari program-program yang melibatkan agama selain Islam. 

AHMAD SYAKIR NORAZLI
Ketua Penerangan
Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz)
24 Shaaban 1444H bersamaan 16 Mac 2023M – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -