Kekang peniaga buat keuntungan tidak munasabah

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memandang serius isu pengambilan untung berlebihan atau aktiviti mencatut yang dilakukan oleh peniaga yang tidak beretika.

- Advertisement -

Justeru itu, kata KPDN kementerian telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan Op Kesan 2023 bagi mengekang peniaga daripada memanipulasi dengan membuat keuntungan tinggi secara tidak munasabah.

“Objektif pelaksanaan pemeriksaan pematuhan menerusi Op Kesan ini adalah untuk mengesan rantaian pembekalan, pengeluaran, pemasaran atau pengedaran barangan atau perkhidmatan yang diperiksa mematuhi akta yang dikuatkuasakan,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman [PN-Kuala Krai] di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut KPDN, Op Kesan itu telah bermula sejak Januari 2023 dan akan diteruskan sehingga November 2023.

Katanya, seluruh pejabat KPDN di negeri akan melaksanakan pemeriksaan secara bulanan di bawah Ops Kesan 2023 mengikut kategori sasaran barangan dan perkhidmatan yang ditetapkan.

Pemeriksaan itu, ujarnya melibatkan kategori seperti berikut barangan kering/makanan dalam tin, perkhidmatan tadika/taska, perkhidmatan tempat letak kereta dan perkhidmatan hotel.

“Pemeriksaan ini akan dijalankan di semua peringkat rantaian pembekalan atau pengedaran barangan yang terdiri daripada pengeluar, pengilang, pengimport, pemasaran am, pengedar, pemborong, peruncit atau peringkat penyedia perkhidmatan yang berada di bawah kawal seliaan KPDN negeri masing-masing,” kata KPDN.

Abdul Latiff dalam soalannya meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan perancangan Kerajaan untuk mengekang pencatutan harga barang dalam rantaian perbekalan dari peringkat pengeluar hingga ke peringkat pengguna. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -