Kejayaan NTF jadi rujukan operasi di sempadan negara

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejayaan operasi semasa pelaksanaan Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) akan dijadikan rujukan dan panduan dalam proses penambahbaikan pelaksanaan operasi di sempadan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

- Advertisement -

Menurutnya, sebelum pewujudan NTF, operasi pemantauan dan penguatkuasaan di sempadan negara dilaksanakan melalui mekanisme yang diselaraskan oleh Jawatankuasa Perancang Gerakan Kebangsaan (JPGK) di bawah Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Ketua Polis Negara dengan melibatkan semua pasukan dan agensi keselamatan serta penguatkuasaan.

Beliau berkata, susulan wabak pendemik Covid-19 yang melanda seluruh negara, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Bil. 6/2020 pada 7 April 2020 telah memutuskan supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerajui operasi mencegah kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui Op Benteng yang diselaraskan oleh NTF.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menumpukan kepada pelaksanaan dan kawalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta penguatkuasaan Prosedur Operasi Standad (SOP) Covid-19,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan [PN-Kota Bharu] di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin meminta Perdana Menteri menyatakan apakah kerajaan akan mewujudkan kembali pasukan National Task Force (NTF) yang telah bukti berjaya dalam melaksanakan Operasi Benteng sejak ditubuhkan pada Mei 2020.

Menurut Armizan, setelah negara memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April 2022 dan pintu sempadan telah dibuka semula, maka NTF telah ditamatkan pada 31 Disember 2022 dan pelaksanaan operasi keselamatan kembali kepada mekanisme sebelum itu.

Katanya, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri yang melibatkan ATM dan PDRM serta agensi keselamatan dan penguatkuasaan sedang menyusuli lanjut dalam meningkatkan penyelarasan operasi keselamatan di sempadan negara melalui mekanisme JPGK yang melibatkan pelbagai agensi. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -