Tiga sasaran utama baiki integriti, urus tadbir yang baik

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui agensi penguatkuasaan rasuah iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik dengan memberi penekanan kepada tiga sasaran utama iaitu pengurusan siasatan yang efektif, pencegahan yang efektif dan meningkatkan keyakinan masyarakat.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, pelbagai strategi penambahbaikan telah dilaksanakan oleh SPRM dalam aspek penguatkuasaan.

Menurut beliau, antaranya pemerkasaan siasatan di bidang-bidang tumpuan utama yang berisiko tinggi dengan menumpukan penyiasatan kes-kes berkaitan perolehan kerajaan/ berskala besar/ bersindiket bagi mengekang ketirisan dan menyelamatkan dana/ hasil kerajaan (keutamaan akan diberikan terhadap kes-kes yang melibatkan dana, subsidi dan bantuan-bantuan khas Kerajaan).

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [PN-Marang] di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Guru dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk memerangi rasuah dan mewujudkan pentadbiran badan eksekutif yang beramanah dan bersih.

Di samping itu, kata Azalina memfokuskan kepada pemantapan perisikan melalui pendekatan intelligence based investigation (IBI), memperkukuhkan sinergi antara agensi dalam dan luar negara dengan meningkatkan kerjasama dengan institusi kewangan dan agensi kawal selia (regulatory bodies); mempertingkatkan kemahiran dan pengurusan dalam pengesanan, penyitaan, pelucuthakan dan pemulihan aset (asset recovery) harta jenayah dan meningkatkan keberkesanan siasatan melalui fungsi analisa kewangan dan forensik teknologi.

Tambahnya, usaha pemerkasaan penguatkuasaan itu bergerak seiring dengan aspek pencegahan di mana SPRM melalui fungsi pemeriksaan dan perundingan akan menumpukan kepada penelitian amalan, sistem dan tatacara agensi-agensi awam terutamanya yang mengawal selia sempadan negara dan terlibat dengan pengurusan dana atau geran kerajaan.

“SPRM akan membantu mengekang kebocoran hasil negara melalui tindakan pencegahan yang lebih efektif dengan menumpukan pemeriksaan terhadap kelemahan dalam kontrak-kontrak Kerajaan serta penemuan daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), penemuan hasil siasatan mahupun lain-lain dapatan yang diperolehi melalui sumber dalaman mahupun luaran,” ujarnya.

Selain itu, ujarnya penubuhan Unit Integriti (UI) di agensi awam dan Unit Integriti dan Governans (IGU) di Syarikat Berkepentigan Kerajaan (SBK) dan penempatan Pegawai SPRM di UI dan IGU.

SPRM juga, katanya telah melaksanakan Kajian Tahap Rasuah Perkhidmatan Awam ke atas kesemua kementerian persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan dengan tujuan untuk mengenal pasti tahap rasuah sesuatu agensi berdasarkan kepada komponen yang telah ditetapkan;

“SPRM juga melaksanakan penarafan risiko rasuah ke atas agensi awam dan syarikat berkaitan kerajaan (SBK) sejak tahun 2013 dan 2019.

“Tujuan asal penarafan risiko rasuah ini adalah bagi membantu agensi dan organisasi untuk menentukan struktur UI/IGU yang bersesuaian berdasarkan dapatan penarafan,” ujarnya.

Tambahnya, usaha pencegahan rasuah di sektor korporat juga sedang giat dijalankan dengan menguatkuasakan kesalahan oleh organisasi komersial di bawah seksyen 17A Akta Suruhanjaya.

Jelasnya lagi, inisiatif sedia ada seperti Corruption Risk Management (CRM), Organization Anti-Corruption Plan (OACP) dan Anti Bribery Management System (ABMS) tetap aktif dan diteruskan oleh SPRM.

Selain itu, katanya usaha memperkasakan suruhanjaya itu turut dan sedang dilaksanakan khususnya dalam pelantikan ketua pesuruhjaya, peruntukan kewangan, jawatankuasa pemantau, penubuhan suruhanjaya perkhidmatan dan tenaga kerja serta penambahbaikan beberapa peruntukan undang-undang berkaitan pencegahan rasuah. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -