Bidang undang-undang masih perlu bahasa Inggeris

Mohd Misbahul Munir Masduki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pada asasnya, Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi bagi negeri-negeri di bawah kedaulatan Raja-Raja Melayu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Dato’ Armizan Mohd Ali.

- Advertisement -

Menurutnya, apabila kerajaan British menjadi protector kepada negeri-negeri itu Bahasa Melayu terus menjadi bahasa rasmi di samping penggunaan bahasa Inggeris.

Tambahnya, perlembagaan negara setelah merdeka menentukan kedaulatan bahasa kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Artikel 152.

Walau bagaimanapun, ujarnya dari segi bidang undang-undang Malaysia masih memerlukan bahasa Inggeris kerana negara ini masih memakai sistem undang-undang common law, equity dan kes-kes yang berkenaan itu adalah dalam bahasa Inggeris.

Katanya, terdapat banyak undang-undang negara khususnya undang-undang yang dipakai sebelum merdeka dan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen selepas merdeka sehingga 1 September 1967, adalah dalam bahasa Inggeris dan undang-undang itu masih berkuatkuasa, melainkan beberapa undang-undang yang telah diterjemah ke bahasa Melayu.

“Antara usaha yang untuk memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang perundangan adalah seperti cadangan oleh Jabatan Peguam Negara agar edisi Perlembagaan Persekutuan yang diterjemah ke Bahasa Melayu menggantikan teks asal dalam Bahasa Inggeris sebagai versi rasmi,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd Misbahul Munir Masduki [PN-Parit Buntar] di Dewan Rakyat.

Dalam soalannya, Mohd Misbahul meminta Perdana Menteri menyatakan apakah usaha dan langkah bagi memartabatkan penggunaan Bahasa Malaysia dalam semua urusan terutama di syarikat-syarikat kewangan yang masih menggunakan Bahasa Inggeris dalam urusan-urusan perjanjian dengan pelanggan. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -