Program bantu usahawan muda Kelantan

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melaksanakan pelbagai program keusahawanan di negeri Kelantan bagi membantu para usahawan muda meningkatkan kemahiran dan melahirkan lebih ramai usahawan baharu melalui program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ) dan agensi-agensi di bawah kementerian.

- Advertisement -

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, seramai 100 graduan daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menerima latihan bagi pembangunan produk melalui Program Usahawan Perantis (SPACE) di bawah PROTEGE pada tahun 2022.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 15 peserta yang menamatkan program telah menerima geran berdasarkan kriteria ditetapkan,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) di Dewan Rakyat.

Katanya, PROTEGE juga melaksanakan Program Latihan Intensif Dalam Talian Bagi Usahawan Generasi Baru (N-GENE) yang menyediakan latihan secara end-to-end untuk membantu graduan memulakan perniagaan merangkumi latihan asas keusahawanan, bimbingan perniagaan bersama business coach dan penyaluran geran mikro permulaan perniagaan.

Tambahnya, TEKUN Nasional telah menganjurkan tiga siri Seminar Asas Keusahawanan di negeri Kelantan.

Katanya, seramai 974 orang usahawan telah mendapat pendedahan berkaitan asas keusahawanan, pemasaran dan kewangan.

Menurutnya lagi, seramai 1,264 usahawan di negeri Kelantan telah menerima latihan dan bimbingan melalui pelaksanaan 20 program keusahawanan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

“Selain itu, INSKEN juga telah melaksanakan dua program bimbingan bersama pakar industri INSKEN selama empat bulan untuk melatih dan membimbing 21 usahawan di Kelantan,” ujarnya.

Katanya, SME Corp. telah melaksanakan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di mana seramai 87 belia Bumiputera di negeri Kelantan telah mengikuti program itu dengan jumlah penyaluran geran permulaan perniagaan sebanyak RM1.18 juta.

Beliau menambah, Bank Rakyat telah melaksanakan program bimbingan keusahawanan di negeri Kelantan seperti Program Cooperative Advisory Desk (CAD) Bank Rakyat, Program Business Matching dan Bengkel Jelajah Akaun Semasa Koperasi 2022 (eCa-i Cooperative Tour 2022) melibatkan penyertaan seramai 238 usahawan.

Ahmad Fadhli dalam soalannya meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh kementerian bagi membantu para usahawan muda di Negeri Kelantan dalam meningkatkan kemahiran perniagaan mereka. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -