MySPC: Sistem perlindungan sosial diperkukuh

Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Dato’ Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan melalui Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) telah mengambil pelbagai langkah bagi memperkukuhkan sistem perlindungan sosial secara umum mahu pun bersasar kepada rakyat.

- Advertisement -

Menurutnya, bagi membantu penyelarasan gerak kerja, MySPC disokong oleh empat Jawatankuasa Kerja iaitu Jawatankuasa Kerja Bantuan Sosial (JKSA) yang dipengerusikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jawatankuasa Kerja Insurans Sosial (JKSI) yang dipengerusikan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Jawatankuasa Kerja Intervensi    Pasaran Buruh  (JKLMI) yang dipengerusikan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Jawatankuasa Kerja Pengurusan Data (JKPD) yang dipengerusikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Katanya, program-program sedia ada meliputi program bantuan sosial, program insurans sosial dan program intervensi pasaran buruh sedang disusun semula dan akan diperkasakan bagi memastikan pelaksanaan dasar dan program perlindungan sosial negara yang lebih komprehensif dan bersepadu.

“Kerajaan juga mengambil kira pelaksanaan amalan terbaik (best practices) perlindungan sosial daripada negara-negara luar sebagai penanda aras,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff [PN-Rantau Panjang] pada persidangan Dewan Rakyat.

Dalam masa yang sama, ujarnya MySPC juga sedang membangunkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) yang mengandungi maklumat profil rakyat Malaysia dan program-program perlindungan sosial daripada pelbagai kementerian/agensi.

“PDPS dijangka siap dibangunkan pada tahun 2025 dan akan menjadi single gateway serta sumber rujukan utama program-program perlindungan sosial yang meliputi elemen pekerjaan, insurans sosial dan bantuan sosial,” katanya.

Melalui PDPS, jelasnya agensi pemberi bantuan dan pelaksana program perlindungan sosial dapat merancang pelaksanaan program dengan lebih baik dan dapat mengelakkan ketirisan sumber seperti pemberian bantuan bertindih.

Selain itu, katanya agensi berkaitan juga dapat mengenal pasti penerima manfaat berdasarkan kumpulan sasar yang telah ditetapkan dengan membuat semakan melalui sistem PDPS sekali gus memastikan mereka yang memerlukan tidak tercicir daripada mendapat manfaat yang sewajarnya.

Siti Zailah dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan status MySPC bagi memastikan kebajikan rakyat yang terbawah dan memerlukan mendapat bantuan yang sewajarnya dan bantuan kebajikan yang diberikan adalah lebih sistematik dan bersasar. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -