Wujudkan rumah perlindungan anak tidak sah taraf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah sosial termasuk kelahiran anak tidak sah taraf perlu diberi perhatian, selain usaha diambil bagi memberi perlindungan kepada mereka.

Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, setakat ini tiada satu pun penempatan atau rumah secara khusus buat golongan berkenaan seperti wujudnya rumah anak yatim.

- Advertisement -

Justeru itu, beliau meminta kerajaan menyatakan sama ada bercadang mewujudkan pusat jagaan khas anak tidak sah taraf di seluruh negeri di negara ini, selain sejauh manakah usaha yang diambil oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu golongan itu diberi pengiktirafan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu, berkata kementerian memandang serius masalah sosial di negara ini, termasuk kelahiran anak tidak sah taraf.

“Kanak-kanak merupakan permata negara yang perlu dilindungi, dikasihi dan disayangi selari dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.

“Justeru itu, kementerian menolak sebarang amalan diskriminasi kanak-kanak, apatah lagi kanak-kanak yang dilahirkan secara tidak sah taraf,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai 18 institusi kanak-kanak, iaitu 16 rumah kanak-kanak yang bersedia memberi perkhidmatan pemeliharaan dan perlindungan kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah 18 tahun, termasuk bayi dan kanak-kanak tidak sah taraf.

Sementara itu, katanya NGO yang layak diberi pertimbangan untuk menerima bantuan oleh kerajaan mesti berdaftar dengan pendaftar pertubuhan dan juga di bawah kategori kebajikan masyarakat, selain bertaraf tempatan serta bercorak kebajikan yang mesti berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -