Pastikan subsidi mampu serap inflasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan perlu menjelaskan langkah bagi memastikan subsidi yang diperuntukkan kepada rakyat mencukupi untuk menyerap ketidaktentuan inflasi global.

Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berkata, penyelesaian kegawatan ekonomi kepada sektor makro ekonomi mungkin mempunyai jawapan yang tepat melalui perancangan kerajaan.

- Advertisement -

Namun, katanya dari aspek mikro ekonomi rakyat, sebaliknya ia memberi kesan yang cukup hebat kepada rakyat.

“Jadi saya ingin bertanya langkah kementerian bagi memastikan subsidi yang diperuntukkan kepada rakyat mencukupi untuk menyerap ketidaktentuan inflasi global?

“Apakah akan ada kesinambungan subsidi yang telah disalurkan oleh kementerian sebelum ini bagi memastikan inflasi dalam negara terkawal?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Sim Chee Keong berkata, kerajaan memang melaksanakan pemberian subsidi dan bantuan tunai dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM64 bilion melalui Belanjawan 2023.

Katanya, jumlah itu sudah tentu termasuk subsidi dahulu yang telah disambung dasar pensubsidian tersebut.

Malah, katanya kerajaan mula melaksanakan subsidi bersasar bukan sahaja untuk mengurangkan ketirisan subsidi, tetapi untuk memastikan subsidi tersebut disalurkan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -