Peniaga baharu wajar dikecuali bayar sewa tapak

Dr Mohd Yadzil Yaakub
- Advertisement -

AYER KEROH: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran memberi pengecualian sewa tapak kepada peniaga baharu yang berniaga di lokasi baharu dalam tempoh enam bulan.

- Advertisement -

Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) berkata, peniaga yang berniaga di tapak perniagaan baharu dibuka mempunyai risiko kurang mendapat sambutan.

“Saya menyambut baik usaha PBT membuka lokasi baharu untuk berniaga. Cuma perlu diingat kawasan tersebut tidak mampu menampung keseluruhan jumlah peniaga kecil.

“Lagi pun kawasan yang baharu dibuka orang ramai belum kenal sehingga menyebabkan pendapatan peniaga terjejas,” katanya pada sidang Dun Melaka semalam.

Menurutnya pengecualian sewa tapak dalam tempoh enam bulan dianggap sesuai sehingga pendapatan perniagaan mereka lebih stabil.

Kata beliau juga peniaga-peniaga kecil sekarang muncul umpama cendawan tumbuh selepas hujan bagi mencari rezeki untuk menampung keperluan keluarga.

“Ada juga yang berniaga secara sambilan mencari rezeki tambahan menampung kos sara hidup,” katanya.

Oleh itu beliau berharap PBT tidak sewenang-wenang memaksa peniaga berpindah ke tempat lain selagi tempat berkenaan tidak mengganggu lalu lintas.

Begitu juga katanya PBT wajar mengawal harga sewa tapak Bazar Ramadan yang dikenakan penganjur kerana ia membebankan peniaga kecil. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -