Masalah luar negara, kempen dalam negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat bertindak melawan kempen antisawit secara agresif di dalam negara, berbanding luar negara.

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkata, ini menimbulkan persoalan kerana kempen antisawit tidak menjadi masalah dalam negara.

- Advertisement -

“Bukan kempen dalam negara yang kita mahukan, tetapi yang saya nampak kerajaan banyak berkempen dalam negara.

“Dalam negara, kita tidak ada masalah penggunaan minyak sawit, yang ada masalah itu di luar negara,” katanya semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Nik Muhammad Zawawi meminta kerajaan memperjelaskan sejauh manakah usaha melawan kempen antisawit berjalan setakat ini dan negara mana yang telah ditembusi untuk kempen berkenaan.

Beliau juga meminta penjelasan sejauh manakah kerajaan mampu menangani kempen memburukkan minyak sawit, terutama di Amerika Syarikat memandangkan kempen antisawit memberi kesan besar kepada pengeluaran minyak sawit.

“Selain itu, adakah pensijilan minyak sawit diselarikan dengan kempen yang kita buat dan diperkenalkan kepada negara luar?” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -