Haramkan tanam tembakau, kilang dan jual rokok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) mencadangkan penanaman tembakau, kilang rokok dan penjualan rokok diharamkan kerana tidak sejajar dengan kempen kesedaran mengenai bahaya merokok.

Malah, katanya tanaman itu tidak patut menjadi tanaman yang menerima peruntukan utama kerajaan ketika Kementerian Kesihatan berkempen sepanjang masa untuk menghentikan amalan merokok.

- Advertisement -

Di Malaysia, katanya kira-kira 27,000 orang mati setiap tahun kerana penyakit berkaitan tabiat merokok dan lebih parah apabila rokok alaf baru seperti rokok elektronik diberikan lesen penjualan.

“Justeru itu, saya mencadangkan kerajaan menggubal atau meminda Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengharamkan terus tanaman tembakau.

“Begitu juga kilang rokok dan penjualan rokok jika kerajaan serius menoktahkan amalan merokok kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, beliau mencadangkan kerajaan menubuhkan Lembaga Kelapa Malaysia untuk diberi tanggungjawab dalam hal berkaitan industri kelapa.

Katanya, kelapa juga merupakan antara sumber pendapatan utama rakyat di beberapa tempat seperti Bagan Datuk, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

“Sehingga sekarang, 81,898 hektar direkodkan keluasan tanaman kelapa dengan purata pengeluaran 500,000 sehingga 560,000 tan setahun.

“Dengan keluasan itu, mengapa sehingga sekarang tidak ada Lembaga Kelapa Malaysia bagi membantu pekebun kelapa untuk meningkatkan hasil tanaman, harga dan pemasaran,” katanya.

Malah, katanya harga kelapa tidak menentu mengikut pasaran semasa dan kerajaan tidak menetapkan harga kelapa seperti yang dilakukan terhadap harga getah dan sawit. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -