Kelulusan lesen sampan di bawah kerajaan pusat

Razali Saad
- Advertisement -

KANGAR: Permohonan lesen sampan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan seperti termaktub dalam Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan dan Perusahaan Perladangan dan Komuditi negeri, Razali Saad bagaimanapun berkata, Jabatan Perikanan membeku pengeluaran lesen laut pantai Zon A, B dan C sejak tahun 1985.

Katanya langkah itu untuk memastikan pengurusan sumber perikanan tidak dieksploitasi secara berlebihan supaya bekalan protein negara terjamin pada masa akan datang.

“Namun pertimbangan permohonan Lesen Sampan Khas diberi perhatian kepada nelayan tulen yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan,” katanya ketika menjawab soalan Abu Bakar Hamzah (PN-Kuala Perlis) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, hari ini.

Razali juga berkata, sebanyak 28 Lesen Sampan Khas diluluskan Jabatan Perikanan dalam tempoh tahun 2020 hingga sekarang.

Menurutnya Jabatan Perikanan mengeluarkan sebanyak 18 Lesen Sampan Khas kepada pemohon lesen yang mematuhi syarat dan prosedur pelesenan.

Bagaimanapun kata beliau 10 pemohon lesen sampan gagal melepasi syarat semasa tapisan dijalankan oleh Jabatan Perikanan.

“Jabatan Perikanan Perlis menjalankan aktiviti pemutihan terhadap pemegang lesen sampan setiap tahun menerusi pemeriksaan fizikal sampan bagi tujuan pembaharuan lesen.

“Kaedah pemutihan turut dijalankan melalui semakan melalui Sistem e-Lesen bagi mengenal pasti lesen sampan yang tamat tempoh melebihi tiga tahun,” ujarnya.

Kata beliau kaedah pemutihan tersebut dilaksanakan setiap tahun untuk mengenal pasti bilangan lesen sampan yang aktif menjalankan aktviti penangkapan ikan.

“Bagi lesen yang tamat tempoh melebihi tiga tahun, jabatan berhak membuat pembatalan lesen,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -