Luruskan semula naratif sejarah negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebahagian aspek sejarah negara masih difahami oleh segelintir rakyat mengikut naratif penjajah, bahkan di peringkat sekolah, masih dikongkong dan dibentuk mengikut elemen pemikiran kolonial.

Datuk Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, ini menyebabkan beliau tidak hairan jika masih ada pimpinan rakyat hari ini masih gagal memahami sejarah pajakan Pulau Pinang dari Kedah.

- Advertisement -

Katanya, kekurangan kefahaman terhadap sejarah asal dan bergantung kepada sejarah yang prejudis terhadap negara dijajah itu, sehingga mereka menganggap sejarah pajakan Pulau Pinang dan Kedah mencabar kedaulatan dan mempertikaikan Perlembagaan.

“Saya ingin mengetahui apakah langkah yang telah dirangka oleh arkib dalam meluruskan semula sejarah negara?” katanya semasa perbahasan peringkat Kementerian Perpaduan Negara, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, Malaysia juga tidak kurang kebolehan pakar dalam bidang sejarah dan warisan.

Sehubungan itu, beliau bimbang generasi akan datang semakin terhakis rasa jati diri terhadap negara kerana nilai sejarah negara yang semakin menipis.

“Di Kedah, kita ada sejarah Perang Musuh Bisik 1821 yang sangat besar ertinya kepada perjuangan menentang dua kuasa besar, Siam dan British.

“Malangnya, sejarah ini tidak mendapat sokongan sepatutnya. Alim ulama, guru-guru pondok adalah pejuang kemerdekaan, tetapi naratif penjajah sebaliknya, bahkan mereka dituduh sebagai pemberontak

“Jadi, sejauh mana usaha Arkib Negara (Malaysia) digerakkan ke arah meluruskan semula sejarah negara dan apakah pelan strategik kementerian bagi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan secara terancang,” katanya. – HARAKAHDAILY 14//3/2023

- Advertisement -