Golongan kais pagi makan pagi sukar temui Menu Rahmah

Dr Mohd Yadzil Yaakub
- Advertisement -

AYER KEROH: Kerajaan Melaka digesa tidak terlalu bergantung kepada ‘formula’ yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.

- Advertisement -

Menurut Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, formula berkenaan hanya memberi kesan kepada segolongan kecil masyarakat.

“Sebagai contoh Menu Rahmah yang diperkenalkan tidak dapat dinikmati semua rakyat terutama golongan yang memerlukan.

“Sudahlah kurang kedai-kedai makan yang menyediakan Menu Rahmah, malah kedai yang ada terletak di tengah pekan yang jauh dari kawasan didiami golongan terkesan,” katanya ketika membahas Usul Terima Kasih Yang Dipertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama, Penggal Kedua, DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri hari ini.

Katanya juga mereka yang menikmati menu tersebut hanya golongan yang bekerja dan bukan golongan kais pagi makan pagi.

“Berapa ramai sangat yang suka makan di restoran? Formula ini juga tidak memberi impak yang baik kepada peniaga-peniaga.

“Rakyat dan peniaga tetap perlu membeli bahan mentah yang mahal. Hanya peniaga yang besar sahaja yang mampu menyediakan Menu Rahmah,” ujar beliau.

Dr Mohd Yadzil yang juga merupakan Adun PN Bemban berkata, apa yang rakyat perlu sebenarnya sumber makanan mentah yang murah.

“Saya harap kerajaan memandang serius masalah kos sara hidup yang semakin meruncing. Saya yakin YAB Lendu lebih bijak dan mampu menyediakan formula yang lebih baik dalam membantu masalah rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/3/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!