KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional mempersoalkan pendirian kerajaan berhubung janji manifesto pengampunan hutang Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meminta Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menjelaskan iltizam polisi kerajaan campuran yang ada sekarang ini.
“Kalau kita imbau semula banyak pihak berjanji dan orang yang paling banyak berjanji dengan formula ialah Ahli Parlimen Pandan, dan kami nak tahu sekarang beliau mengetuai portfolio atau kementerian ekonomi jadi apakah dasar dan strategi pendekatan yang beliau ingin bantu kerajaan hari ini.
“Mengotakan janji yang beliau pernah laungkan dan juga dalam manifesto ini sendiri, jangan kata ini bukan kitab suci lagi.
“Jadi, apakah pendirian kerajaan yang sebenar? Yang itu saya tidak nampak, berkenaan penghapusan hutang bersasar PTPTN,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Pada sidang Dewan Rakyat, Rafizi mendakwa Wan Ahmad Fayhsal mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung isu pemansuhan pinjaman PTPTN.
“Beliau kata saya menyalahi dewan bahawasanya tidak ada janji Pakatan Harapan dalam manifesto untuk menghapuskan hutang.
“Saya nak tunjuk kepada media ini manifesto Pakatan Harapan. Pengampunan hutang PTPTN bersasar, ada kenyataan ini dibuat dan saya tidak menyalahi dewan.
“Saya tidak kata di dalam dewan tadi hutang dihapuskan sepenuhnya tapi saya kata memang ada,” tegas Wan Fayhsal sambil menunjukkan keratan kandungan janji manifesto Tawaran Harapan pada PRU15.
Menurutnya lagi, pengundi atau anak muda ingin tahu pendirian sebenar kerajaan berhubung perkara itu.
“Walaupun menteri jawab tadi dia tak kata nak hapuskan hutang, dia hanya bagi syarat-syarat pengurangan dan sebagainya.
“Jadi, (kita) cuma nak tahu, rakyat perlu tahu bahawa manifesto ini nampaknya tidak ingin dijadikan rujukan oleh mereka untuk dilunaskan janji-janji selepas menjadi kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/2/2023