WASHINGTON: Kerajaan di bawah pentadbiran Presiden, Joe Biden mengumumkan akan menamatkan pengisytiharan perintah darurat Covid-19 di Amerika Syarikat menjelang 11 Mei ini, hampir tiga tahun mengenakan langkah-langkah mengekang penularan pendemik tersebut di negara itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin (30 Jan) waktu tempatan, selepas perintah ‘kecemasan kebangsaan dan kecemasan kesihatan awam’ (PHE) covid-19 telah dilaksanakan pada 2020 oleh pentadbiran Presiden Donald Trump ketika itu, Biden telah berulang kali melanjutkan langkah-langkah itu, yang menurutnya akan tamat tempoh dalam beberapa bulan akan datang, lapor Reuters.
Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB) White House dalam kenyataan tersebut berkata pengisytiharan itu akan dilanjutkan lagi sehingga 11 Mei, dan kemudian akan ditamatkan.
“Pembatalan ini akan sejajar dengan komitmen pentadbiran negara sebelum ini untuk memberi notis sekurang-kurangnya 60 hari sebelum penamatan PHE,” kata OMB dalam satu kenyataan dasar pentadbiran.
Sementara, OMB dalam kenyataan berasingan menegaskan bahawa Biden akan memveto rang undang-undang yang dicadangkan di Kongres AS – yang akan menghapuskan mandat vaksin Covid-19 untuk penyedia penjagaan kesihatan yang menjalankan program persekutuan tertentu. – HARAKAHDAILY 31/1/2023