Presiden PAS yakin gelombang sokongan berterusan

PN telah 80 peratus selesaikan agihan kerusi untuk PRN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yakin gelombang sokongan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) akan berpanjangan dalam situasi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menunjukkan ketidaktentuan.

- Advertisement -

“Nak kata perpaduan, bukan perpaduan. Kalau perpaduan, mestilah Kerajaan tak ada pembangkang ataupun parti pembangkang terlalu kecil atau tak ada peranan, itu baru Kerajaan Perpaduan.

“Kalau separuh, pembangkang separuh, itu bukan perpaduan. Istilah pun tak betul. Kemudian masih banyak masalah-masalah yang tak selesai, kenyataan-kenyataan yang tidak dilaksanakan (Kerajaan PH),” bidasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Dialog Tertutup Bersama GERAKAN yang turut dihadiri Presiden GERAKAN, Senator Dato’ Dominic Lau Hoe Chai, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu lagi, gelombang PRU15 baru-baru ini menyaksikan rakyat memberi dukungan kuat hingga PN menyapu bersih di negeri yang diperintah PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Jelasnya, itu menunjukkan PN mempunyai kekuatan, di mana hasil ‘post-mortem’ dibuat juga mendapati undi-undi DUN dimenangi keseluruhannya.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi antara parti-parti komponen PN bagi PRN di enam negeri, beliau memberitahu bahawa sudah 80 peratus selesai.

Tuan Guru Abdul Hadi dalam pada itu turut mengulangi kekesalannya terhadap sikap tidak menghormati semangat Federalisme sebagaimana pernah dilakukan Kerajaan Persekutuan ketika PAS mentadbir Kelantan dan Terengganu dahulu.

Menurutnya, tekanan khusus dalam aspek pentadbiran dan ekonomi sengaja dikenakan antaranya dengan menubuhkan Jawatankuasa Kampung dan Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Jelasnya, tindakan bertujuan untuk campur tangan urusan negeri itu juga melambat-lambatkan pemberian geran kapital, selain royalti dirampas dan dilanggar perjanjian sedia ada.

“Namun kita boleh bertahan kerana berjimat cermat, integriti yang ada, sokongan rakyat sampai hari ini,” ujarnya pada majlis yang antaranya menjelaskan mengenai Islamophobia itu.

Terangnya, isu itu sengaja ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam yang tidak senang dengan keamanan di negara ini di mana masyarakat majmuk wujud hidup secara harmoni antara satu sama lain.

“Kita ini negara contohlah di seluruh dunia, hubungan pelbagai kaum tak sebagaimana di negara lain. Ini menyebabkan mereka cuba nak cetuskan Islamophobia untuk timbulkan ketegangan.

“Kita berjaya menyelamatkan ketegangan sepertimana peristiwa 13 Mei 1969 dulu. Ketika itu, GERAKAN dan PAS dua parti pembangkang yang ikut sama dalam penubuhan Kerajaan Campuran untuk selamatkan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/1/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!