JAM, Khidmat Malaysia bantu mangsa tanah runtuh di Batang Kali

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS telah mengerahkan sukarelawan Jabatan Amal Malaysia (JAM) dan Khidmat Malaysia turun padang sejak malam tadi bagi memberi bantuan kepada mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, anggota JAM dan Khidmat Malaysia turut bersama-sama membantu agensi-agensi berkaitan di tempat kejadian. 

Sehingga jam 7 malam tadi, angka korban akibat tertimbus di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm itu meningkat kepada 19 orang, sementara 14 lagi dikhuatiri masih hilang, yang mana jumlah mangsa yang terlibat ialah seramai 94 orang dengan 61 daripadanya berjaya diselamatkan.

Menurut Takiyuddin, wakil rakyat PAS terutama dari Selangor dan berdekatan turut diarahkan memberikan bantuan dan pertolongan yang sewajarnya. 

“PAS berdukacita dengan yang melibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan. Justeru, PAS mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap pihak berkuasa akan dapat menguruskan insiden dengan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan petang tadi. 

PBT perlu tegas 

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kerajaan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah bertindak tegas mengawal aktiviti rekreasi dan perkhemahan di kawasan yang berisiko di musim banjir ini.

Menurutnya, perkara itu sebelum ini diberi amaran oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia. 

“PAS juga merakam ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua jabatan yang bertindak pantas dan cemerlang serta bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja menyelamat di tempat kejadian sejak kejadian berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/12/2022

- Advertisement -