Ramai penduduk Bangi mengundi waktu pagi

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato' Ahmad Shapawi Ismail (paling kiri) antara yang mengundi di SK Jalan 4, Bandar Baru Bangi.
- Advertisement -

BANDAR BARU BANGI: Kebanyakan pengundi di Parlimen Bangi memilih untuk keluar mengundi pada waktu pagi pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.

- Advertisement -

Tinjauan Harakahdaily di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Empat di sini, mendapati kawasan sekitar pusat pengundian ini dipenuhi kereta yang diletakkan di tepi jalan raya seawal jam 7.30 pagi.

Bagaimanapun, keadaan lalu lintas berjalan lancar dengan seorang pengawal keselamatan sekolah memastikan kereta tidak diletakkan sesuka hati.

Di pusat pengundian ini, hampir setiap saluran, pengundi beratur panjang untuk menunggu giliran untuk mengundi.

Bangi ialah kawasan Parlimen yang mempunyai paling ramai penduduk di negara ini, iaitu seramai 688,000 orang. Daripada jumlah itu, seramai 303,430 orang layak mengundi dalam PRU15.

PRU15 menyaksikan pertandingan lapan penjuru, iaitu Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir (PERIKATAN NASIONAL), Syahredzan Johan (Pakatan Harapan), Chee Chee Meng (Parti Rakyat Malaysia), Annuar Salleh (Pejuang), Hoh Hee Lee (Barisan Nasional) serta tiga calon bebas, iaitu M Suthan, Muhammad Fauzi Hasim dan Jamal Hisham Hashim.

Keadaan pusat pengundian di SK Jalan Empat yang agak lengang pada waktu petang

Sementara itu, tinjauan kira-kira jam 2.30 petang di pusat pengundian yang sama, keadaan agak lengang dengan semua pengundi tidak perlu menunggu lama untuk mengundi.

Seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini, memberitahu kebanyakan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada waktu pagi.

“Majoriti pengundi bimbang kemungkinan hujan pada waktu petang. Ini menyebabkan keadaan lengang pada waktu petang,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -