‘Kita berperanan demi kemaslahatan warga DUN Tioman’

- Advertisement -

SERAMAI 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PERIKATAN NASIONAL di Pahang bertindak untuk menjadi pembangkang yang konstruktif yang berfungsi sebagai semak dan imbang kepada perjalanan pentadbiran kerajaan negeri. Mereka juga berperanan terhadap segala kemajuan dan pembangunan demi kemaslahatan rakyat termasuk di DUN Tioman. Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin yang juga ADUN Bukit Ibam, USTAZ NAZRI AHMAD berkongsi pandangan dengan Pengarang Harakahdaily, Azmi Yusof semasa ditemui di Kuala Rompin, malam tadi sejurus keputusan PRU15 DUN Tioman diumumkan.

- Advertisement -

HARAKAHDAILY: Apa komen awal ustaz berhubung keputusan PRU15 DUN Tioman ini.

USTAZ NAZRI AHMAD: Pertamanya, kita menerima keputusan ini dengan rasa tenang, berlapang dada, ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku. Kita sangat bersyukur kepada Allah dengan segala usaha yang telah kita lakukan itu. Kita nampak jelas calon kita, Nor Idayu Hashim, dia bukan sekadar berhadapan dengan calon BN bahkan berhadapan dengan kerajaan negeri Pahang. Sebab bermula dari MB semua Exco kerajaan negeri dikerah untuk berkampung di DUN Tioman ini.

Jumlah pengundi hanya lebih daripada separuh sahaja yang keluar berbanding dengan PRU15 Parlimen Rompin pada 19 November lalu. Adakah ini memberi kesan kepada keputusan PRU15 DUN Tioman ini?

Saya bersetuju, sebabnya kalau kita tengok tsunami orang muda pada PRU15 baru-baru ini di seluruh negara bukan hanya di Rompin ini, dan tindakan SPR mengadakan pengundian pada hari bekerja ini sangat tidak sesuai. Sedangkan tinggal hanya dua hari sahaja lagi untuk sesi cuti penggal persekolahan.

Maka saya mengharapkan selepas ini SPR yang bertanggungjawab mengendalikan proses pengundian pilihan raya di seluruh negara, yang mana matlamat utama kepada pilihan raya ini ialah mendapat seramai mungkin pungutan suara pengundi, maka kena lihat pelbagai faktor, antaranya pengundi boleh mengundi untuk pulang atau menunaikan tanggungjawab. Sebab rata-rata kita pergi bermula pagi tadi (semalam) ramai yang mengadu anak-anak tidak dapat balik kerana peperiksaan, kerja tidak dapat cuti dan seumpamanya.

Jadi ini satu perkara yang kena lihat dengan lebih serius, sedangkan PRU15 baru-baru ini kerajaan walaupun diadakan pada hari Sabtu, hari cuti namun kerajaan sendiri pun di peringkat negeri mahupun persekutuan umumkan cuti beberapa hari. Tujuannya adalah untuk memudahkan semua pengundi untuk menunaikan tanggungjawab ini.

Ustaz seorang sahaja ADUN PERIKATAN NASIONAL dalam kawasan Parlimen Rompin. Jadi mungkin ustaz juga berperanan membawa isu-isu yang berkait dengan penduduk di DUN Tioman dalam usaha untuk membela rakyat.

Sebagaimana janji kami, 17 ADUN PN ini untuk menjadi pembangkang yang konstruktif di Dewan Undangan Negeri, maka insya-Allah kita akan berperanan sebagai semak dan imbang kepada perjalanan pentadbiran kerajaan negeri termasuk juga segala kemajuan dan pembangunan di dalam Parlimen Rompin ini termasuk DUN Tioman.

Walaupun dari sudut dasarnya di peringkat Dewan Undangan Negeri setiap ADUN itu dia hanya dalam lingkungan DUN dia sahaja, namun atas semangat prihatin kepada rakyat keseluruhannya terutama dalam Rompin ini, insya-Allah kita akan berperanan demi kemaslahatan warga DUN Tioman.

Apa usaha yang perlu dilaksanakan sebagai penambahbaikan untuk membina kekuatan terutama di ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Rompin dan juga kawasan parlimen.

Yang pertamanya, insya-Allah kita akan berusaha untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini sebagaimana diamanahkan saya di peringkat DUN Bukit Ibam manakala Dato’ Abdul Khalib di peringkat Parlimen Rompin. Insya-Allah kami akan cuba sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab ini walaupun sekarang ini kami berada di blok pembangkang sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun di Parlimen.

Namun, insya-Allah sebagaimana janji kita, kita akan cuba sedaya upaya termasuk juga di DUN Tioman ini yang sangat berpotensi. Ini kerana Umno walaupun menang tetapi dengan majoriti yang sangat tipis dan kita lihat betul-betul pengundi mereka sahaja. Adapun pengundi atas pagar, kita dapat undi mereka. Boleh kata keseluruhan undi atas pagar ini bersama dengan kita.

Sedikit ucapan kepada pengundi, jentera dan seluruh petugas yang sebahagiannya berkampung di DUN Tioman ini.

Akhirnya saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jazakumullahu khairan jaza’, banyak-banyak terima kasih kepada terutamanya kepimpinan PAS dan PN di semua peringkat. Walaupun masing-masing baru sahaja selesai kempen pilihan raya di tempat masing-masing dan bermesyuarat pembentukan kerajaan negeri dan sebagainya, namun masih lagi dapat meluangkan masa untuk datang ke bumi Rompin ini khususnya DUN Tioman.

Begitu juga jentera di seluruh negara yang datang, ada yang sehingga dua minggu berkampung di sini termasuk juga yang menyumbang pelbagai bentuk wang ringgit, harta benda, tenaga dan apa sahaja yang mereka dapat bantu termasuk juga kata-kata semangat dan doa.

Itu menunjukkan sokongan yang kami terima menambahkan lagi semangat kami untuk terus bekerja bagi kita menawan DUN Tioman ini. Begitu juga DUN Muadzam Shah. Sebagaimana beberapa parlimen di dalam negeri Pahang ini kita dapat sapu bersih, jadi itu di antara motivasi ataupun inspirasi kepada kami di bumi Rompin ini.

Dan tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada seluruh pengundi walaupun disogok dengan pelbagai sogokan rasuah pilihan raya dan pelbagai perkara tapi alhamdulillah PN masih lagi mendapat sokongan yang luar biasa dalam pilihan raya ini. – HARAKAHDAILY 8/12/2022

- Advertisement -