Menteri berprestasi pun terkejut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempersoalkan penyusunan semula jemaah menteri yang didakwanya tanpa segan silu mengekalkan menteri yang prestasi mereka tidak berkehasilan.

Dalam kolumnya di sebuah akhbar tempatan, hari ini, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, menulis bahawa mengikut saluran berita utama, ada menteri sendiri turut terkejut apabila ditukarkan ke kementerian lain.

- Advertisement -

Menurutnya, apatah lagi apabila menteri berkenaan menunjukkan rekod prestasi yang agak baik dan berkedudukan selesa dalam parti yang sama.

“Bakal pemegang tampuk lebih selesa. Seorang daripadanya merupakan menteri penggal kedua dalam jawatan yang sama. Sedang tangkas mengatur langkah berjaya. Tiba-tiba ditukarkan pula. Padahnya amat ketara – buang masa, tenaga dan sumber.

“Mengapa faktor ini tidak diambil kira? Lagi pun mengapa menteri terlibat turut terkejut – membayangkan tidak ada proses rujukan sama sekali bagi sebuah parti demokratik, apatah lagi musyawarah untuk mendapatkan yang terbaik untuk bukan hanya parti, tetapi rakyat yang sedang tertanya-tanya ke mana semua ini,” katanya

Dalam kolum itu juga, Dzulkifli tidak menyatakan secara khusus mengenai rombakan Kabinet baru-baru ini, tetapi tulisannya dipercayai merujuk kepada perkara berkenaan.

Mengikut laporan media, antara menteri yang terkejut dengan perubahan portfolio masing-masing ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau ketika ditanya wartawan, dilaporkan berkata masih terkejut dengan pertukaran portfolio daripada Menteri Pendidikan Tinggi kepada Kementerian Pertahanan dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Disember lalu.

“Saya tidak mahu cakap lagi sebab saya masih terkejut,” katanya ketika ditemui wartawan selepas menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Penawaran Perkhidmatan Pelantar Kolektif antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Malaysia Academic Consortium Sdn Bhd.

Dzulkifli yang pernah meyandang jawatan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut menyatakan bahawa jika tiada rundingan telus dan terbuka, sudah tentu satu lagi kejutan tidak terkira.

“Di mana letaknya tuntutan proses demokrasi berunding mesra? Mengapa alpa, memandangkan pelantikan para menteri bukan bak mainan kerusi pusingan berirama? Mengikut seronok sahaja tanpa keazaman nyata.

“Sedangkan yang kurang berprestasi tidak dipindahkan, apa pula muslihat politik dalaman sebaliknya bagi yang berprestasi sehingga turut terasa terkejut,” katanya.

Beliau menulis bahawa natijah kepada semua ini, rakyat membenci kerana kejutan tidak akan membawa kepada kekal abadi, dihantui oleh kesementaraan tanpa kepastian, malah kepura-puraan berlebihan dengan akal budi turut dijual beli dan hati budi dinodai.

Dalam kolum itu, Dzulkifli menggunakan ungkapan `terkejut beruk’ apabila rasuah membentengi perpaduan.

Katanya, selepas setahun keluh kesah dengan retorika memerangi rasuah, gelagat politik terkesan cukup sumbang memalukan, iaitu cakap tidak serupa bikin.

“Negara bertambah miskin bukan sahaja bukan sahaja wang ringgit, tetapi budi bicara! Etika dan moral tersadai di bibir, tidak pada perlakuan, baik di Parlimen sekali pun,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -