Kekalkan momentum untuk menangkan Islam – Idayu

- Advertisement -

ROMPIN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) DUN Tioman, Nor Idayu Hashim mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas yang telah bekerja keras untuk memenangkan Islam dan PN kali ini.

- Advertisement -

Beliau juga memohon maaf sekiranya ada kekhilafan diri sepanjang tempoh berkempen kepada semua petugas.

“Semoga Allah terima segala amal kita semua dan diberkati Allah. Kekalkan momentum kita untuk menangkan Islam dan moga terus istiqamah dalam perjuangan ini.

“Kita sudah berusaha dan berserah pada-Nya. Hanya Allah yang layak menentukan setiap takdir dan keputusan yang telah ditetapkan.

“Menang tak megah, kalah tak rebah,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, malam tadi.

Keputusan PRU15 DUN Tioman menyaksikan calon Barisan Nasional, Dato’ Seri Mohd Johari Hussain menang dengan majoriti tipis 573 undi.

Pada PRU15 DUN Tioman yang berlangsung semalam, Nor Idayu memperolehi 7,507 undi sementara calon BN yang juga penyandang, Dato’ Seri Mohd Johari Hussain mendapat 8,080 undi manakala tiga lagi calon iaitu Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan – 784 undi), Osman A Bakar (Pejuang – 79) dan Sulaiman Bakar (Bebas – 58).

Keputusan rasmi PRU15 DUN Tioman diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dato’ Ahmad Nasim Mohd Sidek di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, malam tadi.

Pada PRU14 lalu, Mohd Johari memenangi DUN Tioman dengan majoriti 1,280 undi. – HARAKAHDAILY 8/12/2022

- Advertisement -