Cipta dron tempatan bantu petani B40

Ustaz Sabri Azit
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, mencadangkan kerajaan membantu syarikat tempatan menghasilkan dron mampu milik yang boleh digunakan oleh petani B40.

Menurutnya, bantuan boleh diberikan dalam bentuk geran atau pinjaman kepada syarikat tempatan untuk membangunkan sendiri teknologi supaya dron yang dikeluarkan dapat dijual dengan harga murah, sekali gus memberi nafas baru kepada petani kelompok B40.

- Advertisement -

“Di Parlimen Jerai, kira-kira 60 peratus penduduk terlibat dalam pertanian, iaitu sawah padi. Penggunaan dron sangat popular kerana semburan racun atau baja bagi kawasan seluas 0.4 hektar hanya mengambil masa tujuh minit berbanding kaedah biasa yang mengambil masa antara satu hingga dua jam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri berkata, MOSTI boleh mengadakan usaha sama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk meningkatkan hasil pertanian, sekali gus menambah pendapatan negara.

Selain itu, katanya penggunaan dron buatan tempatan mampu menarik minat golongan muda yang semakin berkurangan dalam industri pertanian, terutama yang melibatkan sawah padi. – HARAKAHDAILY 1/12/21

- Advertisement -