Royalti petroleum mungkin dibincang pada Sidang DUN Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Isu berkenan royalti petroleum kemungkinan turut akan dibincangkan pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) Negeri Kelantan yang akan berlangsung esok bagi membentangkan Belanjawan Kelantan 2022.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada ahli dewan sama ada mahu membincangkan atau sebaliknya.

Namun katanya, pada persidangan itu perbentangan mengenai Belanjawan Kelantan 2022 menjadi keutamaan yang akan diberi fokus untuk dibicangkan pada persidangan kali ini.

- Advertisement -

“Persidangan yang akan berlangsung esok akan diberi keutamaan berkenaan Belanjawan Kelantan 2022, manakala isu berkenaan royalti petroleum itu bergantung pada ahli mahu membincangkan atau bagaimana nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) katanya, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan perlu menjalani ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (RT-PCR) Covid-19.

Ini bagi memastikan semua yang hadir adalah sihat malah mereka yang hadir juga perlu menggunakan pelitup muka, mengimbas Kod QR dan menjaga penjarakan fizikal.

Terdahulu, media melaporkan Belanjawan Kelantan 2022 dijangka dibentangkan pada 2 Disember manakala sidang DUN Kelantan akan bersambung semula pada 5 hingga 7 Disember dengan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan membahaskan mengenai belanjawan tersebut

Kali terakhir Persidangan DUN Kelantan diadakan pada 23 hingga 25 Ogos lalu dengan dihadiri kesemua 44 Adun yang mengamalkan norma baharu bagi membendung penularan wabak Covid-19. – HARAKAHDAILY 1/12/2021

- Advertisement -