Pengekalan subsidi jemaah haji disambut baik

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Tindakan kerajaan masih mengekalkan subsidi kepada semua bakal jemaah haji kecuali kepada mereka yang memilih pakej swasta wajar disambut baik.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis, Nor Shahirah Mat Salleh berkata ia memberi berita gembira kepada jemaah yang sudah lama menunggu sejak dari kedatangan pandemik Covid-19.  

Advertisement

“Berita ini wajar disambut baik terutamanya kepada bakal jemaah yang sudah lama menunggu akibat dari pandemik yang berlaku. Jika kerajaan menaikkan harga untuk menunaikan ibadah itu, sudah pasti ia membebankan mereka.

“Pengekalan ini juga memberi peluang dan semangat kepada anak muda untuk segera mendaftar dengan lebih awal,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Idris Ahmad memberi jaminan kepada  semua bakal jemaah haji negara ini untuk diberikan subsidi kecuali mereka yang mahu memilih pakej swasta dan sanggup membayar kos lebih.

“Hal ini sekali gus, menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat yang sedia terbeban dengan keadaan ekonomi sekarang.

“Di samping itu, rakyat akan terus yakin dengan pengurusan pihak Tabung Haji yang cekap dan amanah sehingga dapat meneruskan subsidi kepada bakal jemaah,” ujarnya lagi.

Terdahulu, bekas menteri berkenaan, Dato’ Seri Mujahid Yusof Rawa menggesa kerajaan melaksanakan subsidi secara bersasar kepada mereka yang layak sahaja pada sidang akhbar di parlimen pada 29 November lepas.

Beliau merujuk kenyataan Dato’ Ahmad Marzuk Shaary sebelum ini yang menjangka kos haji pada tahun depan meningkat lebih 50 peratus disebabkan pelbagai faktor.

Untuk rekod, jemaah yang memilih untuk menunaikan ibadah haji melalui perkhidmatan TH hanya dikenakan kos asas sebanyak RM9,980 seorang dan kadar itu tidak pernah dinaikkan sejak 2009. – HARAKAHDAILY 1/12/2021