Mesej rakyat tolak kerajaan, Kabinet kleptokrat – Azman

KUALA LUMPUR: Dato’ Azman Nasrudin melahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas kemenangan dengan majoriti besar untuk PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang.

Advertisement

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan ini adalah satu kemenangan buat rakyat Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada isteri dan anak-anak saya yang tidak putus berdoa, bersama saya dan menyokong saya selama ini,” ujarnya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PN terutamanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Azmin Ali serta Pengerusi PN Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menjadi calon PERIKATAN NASIONAL di P.017 Padang Serai.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pengundi-pengundi di Padang Serai kerana memilih saya sebagai wakil rakyat Padang Serai,” katanya yang diisytiharkan memenangi kerusi Parlimen Padang Serai, malam tadi.

Menurutnya, beliau percaya keputusan itu adalah satu mesej jelas daripada rakyat Malaysia dan warga Padang Serai yang menolak kerajaan dan Kabinet kleptokrat serta membantah pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi pertuduhan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tambahnya, ia juga satu signal yang jelas bahawa Perdana Menteri baharu untuk berhati-hati kerana rakyat sentiasa menghakimi keputusan yang dibuat oleh beliau.

“Kepada jentera-jentera dan para penyokong PERIKATAN NASIONAL Padang Serai, PN Kedah serta kepimpinan dan jentera dari Semenanjung yang turut sama-sama berkempen di Padang Serai, saya sangat terharu dan berterima kasih,” katanya.

Azman turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakan media yang banyak memberi liputan sepanjang tempoh berkempen di Parlimen Padang Serai.

“Saya beraspirasi untuk bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan wakil rakyat yang lain yang telah dipilih oleh rakyat pada PRU15 ini untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dan memantau tindak tanduk kerajaan campuran PH/BN,” ujarnya lagi.

Katanya, beliau juga akan membawa aspirasi suara warga Padang Serai di Parlimen kelak dan memastikan yang suara dan hak warga Padang Serai akan sentiasa terjamin.

Pada PRU15 Parlimen Padang Serai yang diadakan semalam, beliau mendapat 51,637 undi mengalahkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang memungut 35,377 undi, Datuk C Sivaraj (BN – 2,983 undi), Sreanandha Rao (Bebas – 846), Hamzah Abd Rahman (Pejuang – 424) dan Mohd Bakhri Hashim (Warisan – 149).

Keputusan rasmi PRU15 Parlimen Padang Serai diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dato’ Abdul Bari Abdullah di pusat penjumlahan di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, malam tadi. – HARAKAHDAILY 8/12/2022