KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada jaminan untuk mengelakkan kenaikan tarif elektrik di Sabah, malah mustahil sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerajaan memang telah memberikan subsidi di peringkat Persekutuan.
“Kalau pada tahun 2021 jumlahnya ialah sebanyak RM368 juta untuk subsidi bahan api, RM310 juta untuk subsidi solar, subsidi sokongan tarif pula sebanyak RM32.4 juta dan jumlahnya RM711 juta.
“Ini membolehkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengekalkan tarif asas di Sabah pada 34.25 sen, satu tarif yang rendah berbanding misalnya di peringkat semenanjung.
“Jadi atas dasar itu, harga tarif di Sabah bagi masa akan datang bergantung kepada soal harga bahan api dan juga pembangunan bekalan elektrik di Sabah sebagaimana yang kita tahu berdepan cabaran, khususnya di bahagian Pantai Timur kerana tidak mempunyai infrastruktur sumber tenaga bahan api berbanding Pantai Barat Sabah.
“Tetapi kerajaan Persekutuan memang sebelum ini telah memberi bantuan kewangan yang besar bagi bekalan elektrik di Sabah,” katanya menjawab soalan lisan tambahan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ali meminta kerajaan menyatakan langkah dalam proses penyerahan kuasa bekalan elektrik kepada kerajaan Sabah dan adakah perkara ini melibatkan implikasi kewangan terhadap Kerajaan Persekutuan.
Beliau juga ingin tahu tempoh masa yang diperlukan sebelum keseluruhan proses tersebut selesai.
Nik Nazmi berkata, proses penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik negeri Sabah kepada kerajaan Sabah mempunyai implikasi kewangan kepada Kerajaan Persekutuan.
“Sebagaimana amalan sedia ada, kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan subsidi kepada SESB bagi tempoh yang dipersetujui merangkumi subsidi sokongan tarif, subsidi bahan api dan subsidi solar berskala besar, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan.
“Namun, butiran terperinci tentang jumlah tersebut masih lagi dalam proses rundingan untuk dimuktamadkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/23