Buru suspek buang sisa kimia hingga ke lubang cacing

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, di tepi takungan sisa kimia di Kampung Semarang
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

SEPANG: Menteri Alam Sekitar dan Air mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama polis menyiasat dan mencari suspek yang bertanggungjawab membuang sisa kimia secara haram di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Semarang dekat sini.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan tidak mahu peristiwa hitam yang berlaku di Sungai Kim Kim, Johor, berulang lagi dan beliau yang menyatakan ketegasannya berhubung perkara ini mahu suspek terbabit diburu hingga ke lubang cacing.

- Advertisement -

Menurutnya, penemuan sisa kimia di tapak pelupusan sampah seluas kira-kira 1.3 hektar dan hanya kira-kira 700 meter dari jajaran Sungai Langat adalah suatu perkara yang serius.

Katanya, tapak pelupusan sampah haram itu meliputi kawasan paya yang dipenuhi sisa kimia bercampur aduk sampah domestik serta sisa ricihan plastik.

“Berdasarkan anggaran, terdapat 100 tong besi berkapasiti 200 liter mengandungi sisa kimia yang disyaki Buangan Terjadual (BT) berbentuk cecair, separa cecair dan pepejal berwarna.

“Di lokasi itu juga terdapat sisa bekas Intermediate Bulk Container (IBC) yang telah dipotong yang isi kandungannya dialirkan ke sebuah lubang besar yang digali oleh pihak yang melupuskan BT berkenaan,” katanya dalam sidang media di tapak pelupusan sampah haram itu, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, JAS telah menggerakkan pasukan siasatan untuk mengenal pasti pelaku, pengeluar buangan (kilang) dan kontraktor pengangkut terbabit.

Kakitangan Jabatan Alam Sekitar mengambil sampel sisa kimia di tapak pelupusan sampah haram Kampung Semarang – Gambar Muhammad Zharif Zulkiflee

“Sebuah jentera berat yang digunakan untuk melupuskan buangan turut disita bagi tindakan lanjut. Kes ini turut dirujuk kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) serta Pejabat Tanah dan Daerah Sepang untuk tindakan lanjut agensi berkenaan.

“Saya juga mengarahkan Ketua Pengarah JAS menyelaras satu mesyuarat tindak cepat dengan agensi berkaitan, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mengambil tindakan pembersihan segera dan mengeluarkan semua buangan dari lokasi kejadian untuk dilupuskan,” katanya.

Sementara itu mengulas kejayaan menemui lokasi itu, beliau berkata, pencemaran itu dikesan selepas JAS menjalankan siasatan terhadap aduan pencemaran bau kimia yang mengganggu penduduk kawasan perumahan sekitar Dengkil, Cybersouth dan Presint 5 Putrajaya, sejak seminggu lalu.

Katanya, penduduk tempatan memaklumkan terdapat pencemaran bau seperti bau kencing kucing atau tikus, terutama pada waktu malam dan awal pagi.

“Siasatan digerakkan secara intensif oleh JAS mulai 30 Jun lalu hingga 3 Julai, meliputi semua punca berpotensi seperti kilang, tapak pelupusan sisa lengai, rizab sungai, premis barang lusuh, saluran paip gas, bengkel, kawasan pertanian dan aktiviti penternakan.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menunjukkan sisa kimia yang diambil dari tapak pelupusan sampah haram Kampung Semarang

“Pada 4 Julai (semalam), hasil maklumat orang ramai, JAS berjaya menemui lokasi sebenar punca pencemaran bau kimia, iaitu di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Semarang yang berdekatan Kampung Orang Asli Bukit Jenuk. Kawasan ini dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Lombong Nam Tak,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati bau kimia seperti bau kencing kucing atau tikus yang dihidu di lokasi itu adalah bau yang sama dihidu di sekitar Taman Emas, Taman Kristal dan Cybersouth serta Jalan Pintasan Dengkil.

Berikutan itu, katanya sampel buangan yang disyaki BT diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada JAS Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang serta semua agensi yang terlibat dalam siasatan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/22

- Advertisement -