LRA Kulim Hi-Tech, Pinang Tunggal ditutup sementara

Kredit foto: UPDA
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Kulim Hi-Tech dan LRA Pinang Tunggal/Sungai Petani terpaksa dihenti tugas (total shutdown) pada jam 10.50 dan 11.10 malam tadi kerana kadar kekeruhan air mentah (NTU) yang tinggi akibat banjir kepala air di Baling.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penutupan sementara itu akan menjejaskan 80,000 akaun (Hi-Tech) dan 121,000 akaun pengguna di Pinang Tunggal dan Sungai Petani).

- Advertisement -

“Pihak SADA akan membuat penghantaran air terawat melalui lori dan tanker kepada kawasan yang terjejas akibat daripada langkah ini,” ujarnya menerusi catatan di Facebook beliau, pagi ini.

Dalam catatan sebelum itu, beliau memaklumkan tinjauan penduduk kampung ke kolam takungan air paip masyarakat (tandak takungan) di Gunung Inas yang membekalkan air masyarakat ke Kampung Carok Kapas dan Kampung Carok Rotan Mas di Gunung Inas mendapati telah pecah akibat hilang upaya menakung air yang banyak dan laju.

Menurutnya, situasi itu tidak terakam dalam gambar udara Jabatan Bomba dan Penyelamat pagi tadi.

“Besar kemungkinan terdapat tandak takungan air masyarakat ke kampung lain juga mengalami situasi yang sama… pecah,” katanya.

Tambahnya, takungan pecah seumpama itu turut menyumbang kepada pembentukan kepala air. – HARAKAHDAILY 6/7/2022

- Advertisement -