Raja Perlis titah bersatu hati bendung gejala rasuah

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

Advertisement

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah semua pihak perlu menghormati dan memelihara prinsip kebebasan badan kehakiman dan tidak membuat sebarang tuduhan yang melulu.

Titah baginda, terdapat tiga cabang utama yang ditadbir berasingan di bawah sistem pentadbiran negara iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman yang mempunyai peranan, tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing.

“Menerusi pengasingan kuasa ini, pemerintahan negara akan berjalan dengan tersusun dan teratur serta wujud semak imbang dalam sistem pentadbiran.

“Beta berharap agar hakim dan pegawai kehakiman sentiasa menjaga integriti dan etika bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat sentiasa adil dan saksama.

“Jika sesuatu keputusan dibuat berlandaskan undang-undang dan fakta yang betul, sudah tentu keputusan tersebut dapat diterima baik semua pihak,” titah baginda selepas merasmikan Kompleks Mahkamah Kangar di sini, hari ini.

Sebelum itu keberangkatan tiba baginda disambut Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kangar Dr Arik Sanusi Yeop Johari.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Sri Dr Hj Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Tuanku Syed Sirajuddin turut mengajak seluruh jentera kerajaan termasuk penjawat awam, ahli politik, badan swasta, NGO dan orang awam bersatu hati dalam membasmi dan membendung masalah rasuah.

“Jika budaya itu tidak dihapuskan, ia akan merosakkan seluruh sistem pentadbiran dan masyarakat baik dari segi politik, ekonomi dan sosial,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 5/7/2022