‘Kita terima keputusan dengan tenang, berlapang dada’

Ustaz Nazri Ahmad
- Advertisement -

ROMPIN: “Kita terima keputusan ini dengan tenang, berlapang dada,” kata Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Ustaz Nazri Ahmad.

- Advertisement -

Menurutnya, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang berlangsung pada hari ini mempunyai hikmah.

“Ini ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku. Kita sangat bersyukur kepada Allah dengan segala usaha yang telah kita lakukan itu.

“Kita nampak jelas calon kita, Nor Idayu bukan sahaja berdepan dengan calon BN tetapi dengan kerajaan negeri Pahang,” ujarnya ketika ditemui di Kuala Rompin, malam ini.

Beliau berkata, sejak bermula proses PRU15 DUN Tioman, menteri besar dan semua Exco kerajaan negeri dikerah berkampung di DUN berkenaan.

Keputusan PRU15 DUN Tioman menyaksikan calon Barisan Nasional, Dato’ Seri Mohd Johari Hussain menang dengan majoriti tipis 573 undi.

Selaku penyandang, beliau memperoleh 8,080 undi sementara calon PERIKATAN NASIONAL, Nor Idayu Hashim mendapat 7,507 undi manakala tiga lagi calon iaitu Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan – 784 undi), Osman A Bakar (Pejuang – 79) dan Sulaiman Bakar (Bebas – 58).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dato’ Ahmad Nasim Mohd Sidek mengumumkan keputusan rasmi itu di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam ini.

Dalam pada itu, Ustaz Nazri yang juga ADUN Bukit Ibam tidak menolak peratus yang keluar mengundi adalah rendah berbanding PRU15 Parlimen Rompin pada 19 November lalu kerana diadakan pada hari bekerja.

Katanya, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian pada hari bekerja menyebabkan ramai pengundi terutama dalam kalangan anak muda yang bekerja dan belajar di luar tidak dapat pulang untuk mengundi.

“Tindakan SPR mengadakan hari pengundian pada hari bekerja sangat tidak sesuai sedangkan hanya tinggal dua hari sahaja lagi untuk sesi cuti penggal persekolahan.

“Maka saya mengharapkan selepas daripada ini SPR yang bertanggungjawab mengendalikan proses pilihan raya ini di seluruh negara yang mana matlamat utama untuk mendapat seramai mungkin pungutan suara pengundi,” katanya.

Justeru, ujarnya SPR perlu melihat berbagai faktor antaranya penetapan hari mengundi bagi membolehkan para pengundi luar pulang untuk menunaikan tanggungjawab.

“Rata-rata yang kita temui pagi tadi mengadu anak-anak tak dapat balik kerana anak sedang menghadapi peperiksaan dan bekerja, tidak dapat cuti dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Jumlah pengundi yang mengundi pada PRU15 DUN Tioman adalah seramai 16,508 daripada 28,465 orang atau 58.39 peratus. – HARAKAHDAILY 7/12/2022

- Advertisement -