KUALA LUMPUR: Majoriti pelajar di universiti mengalami masalah capaian internet di kampus mereka.
Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkata, masalah tersebut berlaku, terutama di Universiti Utara Malaysia (UUM).
“Capaian internet yang lemah di kampus universiti seluruh negara, khususnya saya sebutkan di sini ialah di UUM.
“Sebenarnya sebelum saya mahu bertanya soalan ini, saya sudah pun menemui pelajar di kawasan Kubang Pasu yang kebanyakan mereka belajar di UUM dan juga pensyarah universiti berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, majoriti mereka yang ditemui memberitahu bahawa capaian internet di kawasan tersebut mempunyai masalah.
“Namun demikian apabila saya menerima jawapan dari kementerian, mereka menyatakan tiada masalah. Saya rasa satu jurang yang besar antara realiti di bawah dengan maklumat yang diberikan di atas. Ia juga berlaku di Yan, iaitu kawasan Guar Cempedak yang tiada capaian internet,” katanya.
Sehubungan, beliau meminta jawapan Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil supaya dapat menghilangkan kerunsingan rakyat di bawah.
Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, masalah capaian internet itu berkaitan internet jalur lebar talian tetap.
“Di sini ada sedikit kekangan kerana kebiasaannya pengurusan kampus universiti mungkin ada perancangan sendiri. Di pihak kita tidak mengarahkan mereka untuk memilih mana-mana penyedia perkhidmatan yang mereka mahu,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2023