Ramai pengundi DUN Tioman tidak sempat pulang mengundi

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Kemenangan besar calon PERIKATAN NASIONAL di Parlimen Padang Serai Rabu lepas membuktikan pengundi peka kemelut kepimpinan negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional sekarang.

- Advertisement -

Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, situasi serupa juga dikesan di DUN Tioman apabila PN berjaya mengurangkan majoriti BN pada PRU14 sebanyak 1,280 kepada 573 undi pada PRU15.

Katanya, pengundi DUN Tioman yang berada di luar Pahang tidak sempat untuk pulang mengundi kerana pilihan raya diadakan pada hari bekerja.

“Penyandang kerusi itu Dato’ Seri Mohd Johari Hussain memperoleh 8,080 undi dengan majoriti 573 undi mengalahkan calon PN Nor Idayu Hisham.

“Jumlah undi BN berjaya dikurangkan hampir separuh berbanding PRU14. Sekiranya hari kelepasan am tentunya lebih ramai pengundi dapat pulang mengundi,” katanya ketika ditemui di sini.

Oleh itu beliau mengingatkan pengundi baharu khususnya anak-anak muda lebih peka terhadap tanggungjawab sebagai pemilih.

“Di tangan anak muda lah yang dapat membentuk sesebuah kerajaan. Saya yakin jika mereka dapat pulang menunaikan tanggungjawab Rabu lepas peluang PN lebih cerah.

“Ini kerana mereka memberi isyarat yang jelas pada PRU lepas bagi memilih pemimpin yang ada integriti tinggi dan prihatin terhadap nasib rakyat,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, rakyat tidak berpuas hati terhadap kerajaan hari ini, di samping berlegar beberapa isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat. – HARAKAHDAILY 9/12/2022

- Advertisement -