PRU15: Kuasa Agong menenangkan rakyat

- Advertisement -

DI SAAT rakyat bimbang dan takut memikirkan nasib mereka berada di tangan segelintir penguasa politik yang rakus, ada satu perkara yang memberi ketenangan dalam keributan.

Ketenangan itu hadir apabila rakyat diingatkan kembali bahawa penentu sebenar kepada pembubaran Parlimen adalah perkenan dari Yang di-Pertuan Agong, bukan cadangan daripada Perdana Menteri. 

Semasa bercakap kepada wartawan, Perdana Menteri sendiri menyatakan: “kuasa mencadangkan untuk membubarkan Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong. Jadi Yang di-Pertuan Agong ada kuasa pemutus”. 

Cukup jelas perbezaan di antara perkataan ‘mencadangkan’, dan ‘kuasa pemutus’. 

Banjir yang menakutkan

Sebagaimana semua pihak sudah maklum, PAS menentang pilihan raya dilakukan segera bukan kerana faktor politik. Tetapi kerana PAS berpendirian tidak wajar nyawa dan keselamatan rakyat dipertaruhkan semata-mata untuk proses menubuhkan kerajaan baru.

Umno kena ingat, jangan sampai dunia menyaksikan betapa Umno hilang pertimbangan apabila melibatkan kuasa politik dan pemerintahan. Imej Umno sudah tercalar lantaran pimpinan utama mereka dipenjarakan, maka amat tidak bijaksana untuk Umno terus menjatuhkan standard mereka. 

Berbicara soal banjir, teringat kisah Nabi Nuh A.S yang memimpin kaumnya menaiki kapal yang akhirnya menyelamatkan aqidah dan nyawa mereka. Begitulah al-Quran memberitakan perihal pemimpin dan pengikutnya. 

Nabi Nuh A.S merupakan pemimpin di zamannya, manakala dalam konteks negara kita, Yang di-Pertuan Agong lah yang menjadi ketua agama yang memimpin rakyat jelata. Dan sebagaimana Nabi Nuh A.S menyelamatkan umatnya dari banjir besar, rakyat Malaysia bergantung harap agar Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan pembubaran Parlimen di musim tengkujuh.

Peristiwa KFC dan McDonald’s menjadi simbol

Alhamdulillah, rakyat Malaysia bersyukur mempunyai Yang di-Pertuan Agong yang disenangi dan disayangi oleh rakyat jelata. 

Masih segar di ingatan rakyat, ketika negara dalam krisis politik dan tidak mempunyai kerajaan, Yang di-Pertuan Agong melakukan satu perkara yang mengejutkan apabila turun sendiri untuk menemui para wartawan yang sedang berpanas di pintu pagar istana dan ‘belanja’ mereka dengan KFC dan McDonald’s. 

Ini bukan peristiwa kecil. Ini simbolik kasih seorang Raja kepada rakyatnya. 

Dalam keadaan politik negara tidak stabil, tindakan Yang di-Pertuan Agong itu seakan-akan membawa maksud: ‘usah bimbang, rakyat negara ini masih ada Raja yang menaunginya’. 
Betapa sejuknya mata yang memandang, dan betapa tenangnya hati rakyat bawahan. 

Begitulah hakikatnya, di saat sang penguasa politik hilang pertimbangan, rakyat jelata sentiasa mampu bergantung harap kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai benteng pelindung yang terakhir. 

MUHAMMAD NABIL ZULKIFLI 
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -